Showing posts with label PERSONAL. Show all posts
Showing posts with label PERSONAL. Show all posts

December 21, 2025

[Personal] Jalan-jalan Cari Makan Suka Dessert Selayang

 Okey aktiviti hari ini ialah mengemas rumah. Basuh baju Dan lipat baju. Vaqum keseluruhan rumah. Buang sampah dan sental bilik air. Bilik air takleh nak pulun sangat sebab nak keluar cari makan.


Hari ni alhamdulillah abah bawak kami anak branak pergi ke Suka Dessert di Selayang. Kami sampai dalam pukul 1.45 petang. Kelihatan memang ramai orang tengah beratur. Dah datang Dari jauh nak tak nak kita join jela beratur. 


Setelah sejam beratur akhirkan giliran kami sampai. Alhamdulillah dapat beli 2 bucket je untuk sekali order. Jadi Kak Feni bucket saiz besar dan medium. Nak makan ramai-ramai kan. lepas tu  terus balik rumah opah. Petang ni ada makan-makan. 


Ini adalah kali kedua Kak Feni ke Suka Dessert  Sebelum ni memang tak kuasa nak beratur tapi sekali dah terkena. Beratur panjang kak Feni hari ni. Sejam beratur sebab hari ni ramai orang maklumlah hari minggu kan.



Masa tengah beratur ni ada guard yang akan bagi katalog untuk memudahkan kita pilih apa kita nak beli. Kak Feni snap gambar siap-siap apa nak beli. Mudah bila sampai di kaunter. Tak perlu ambil masa untuk pilih.




Kak Feni pilih yang nak je. Nak beli yang banyak-banyak tak cukup modal. Hihi



Selesai setelah sejam beratur. Terpulang kepada masing-masing. Kak Feni rasa berbaloi sebab tu Kak Feni sanggup pergi jauh-jauh dan dengan harga yang okeyla sekali sekala nak merasa. huhu





November 4, 2025

[Personal] Ambil Mood untuk Mengemas Rumah

Hari minggu hari untuk rehatkan diri dan otak. Alhamdulillah walaupun sibuk dengan urusan dunia ni. Rumah pun kena kemas juga supaya mental lebih sihat. Kebersihan itu adalah iman



Kisah hari Ahad lepas. Walaupun kadang-kadang rasa nak duduk berguling je sambil main handphone. Gagahkan diri untuk kemas meja makan yang dah tak nampak macam meja makan. Nak makan kat meja pun takde ruang. Huhu


Bila dah selesai kemas meja. Buang barang yang dah tak perlu dah tak patut. Rasa lapang je meja. Nak makan kat meja pun selesa. Kalau tak bila nak makan kena hampar tikar duduk bersila kat lantai. Haha lepas ni boleh makan dengan selesa di meja makan. Meja makan ada tapi jadi tempat letak barang yang entah apa-apa.


Bila rumah dah kemas otak pun rasa segar. Boleh bernafas dengan tenang. Mengemas pun adalah terapi. Kak Feni suka tengok reel di fb pasal kemas mengemas, lipat kain, gosok baju, basuh pinggan, kemas dapur dan masak-masak makan-makan. Haha rasa seronok dan tenang bila dapat tengok tempat dan barang kemas.


Kak Feni ni bukanlah seorang yang OCD tapi kalau serabut sangat jadi stress. Kak Feni doakan semoga terus rajin untuk kemas mengemas ni. InshaAllah.


Kak Feni ada google dan tanya Chatgpt juga pasal tips mengemas untuk wanita yang sibuk. Siap suruh chatgpt buat susunatur keadaan dalam bilik dan ruang tamu. Kadang-kadang benda teknologi ni membantu juga bagi kita yang buntu ini. 


Dulu masa ada anak kecil rumah memang sentiasa bersepah dengan barang-barang mainan. Bila ada orang nak datang semua kelam kabut kemas masuk bakul letak dalam bilik. Haha praktik dari kecil dan sekarang bila tahu ada tetamu nak datang. Anak-anak akan segera kemas apa yang patut. Sekarang anak-anak dah remaja.

 

Kita golongan marhain. B40 jadi semua kerja kita kena buat sendiri. Pelan-pelan kayuh. Kalau rasa larat buat. Rasa tak larat kita rehat. Umur dah meningkat ni taknak dah hidup dalam tekanan. Kita buat rilek-rileks sudah.

 

Okey Feni menulis hanya untuk kepuasan diri sendiri sahaja. Untuk melatih otak sentiasa bekerja supaya tidak tepu. Untuk mak-mak yang sibuk macam kak feni jangan kita mudah putus asa. Sentiasa kuat semangat untuk teruskan hidup ini selagi diberikan waktu. Untuk anak-anak dan keluarga yang sangat perlukan semangat kita.

 

Walaupun kadang-kadang rasa rapuh juga. Rasa nak give dengan keadaan dan nak je menyerah dengan keadaan tapi terpaksa kuat bukan untuk diri sendiri tapi untuk orang-orang yang kita sayang.

 

Dalam dunia hari ini, kalau kita rajin. InshaAllah akan ada je ruang dan peluang yang terbuka. Semoga Allah sentiasa bersama kita dan kita sentiasa dalam lindungan Allah selalu.


October 24, 2025

[Personal] Ujian Tanda Allah Sayang - Kereta Kena Langgar Dari Belakang

Alhamdulillah terima kasih ya Allah sebab masih diberi peluang untuk terus bernafas dalam dunia ini. Banyak benda yang berlaku. Pejam celik pejam celik dah tinggal 2 bulan sahaja lagi nak masuk tahun baru 2026.


Banyak perkara kecil yang berlaku yang perlu disyukuri sepanjang tahun ni. Alhamdulillah. Walaupun yang tak berapa nak best pun sama banyak tapi apapun tetap bersyukur sebab masih boleh lalui segala suka duka tahun ni.


Tahun depan harapnya yang lebih baik untuk kita semua. InshaAllah. Dari segi kerja bersyukur sebab masih ada kerja dan boleh bayar komitmen bulan-bulan. Hutangnya banyak jadinya kena kerja kuat-kuat untuk selesaikan hutang yang pandai dibuat. 


Hari Sabtu lepas (18/10/2025) dalam perjalanan ke Rawang kereta kami kena langgar dari belakang. Alhamdulillah kami anak beranak tiada apa-apa dan selamat semuanya. Syukur walaupun terkejut dan panik. Semua urusan dipermudahkan. 


Masa kena tu kami 4 beranak tengah berbincang pasal budak kat taman hilang. Tiba-tiba dumb!!! Semua terus diam bengong tak tahu nak buat apa. Kak Feni terkejut dan anak-anak pun diam. Masa kena ni jalan jem jadi kereta tak berapa laju. Alhamdulillah walaupun kuat hentaman dari kereta belakang. Kami keluar tengok kemek sikit je cuma sensor(betul ke aku eja ni) belakang tercabut. 

Kereta yang langgar

Beginilah keadaan kereta kami. Takpelah kereta boleh repair. InshaAllah ada rezeki lain nak datang. Yang penting keselamatan dan nyawa tu selamat. Alhamdulillah kami semua selamat. 

kereta kami


October 17, 2025

[Personal] Plan Cuti 3 Hari Sempena Raya Deepavali



Hari ni hari Jumaat dan hari terakhir kerja untuk minggu ini. Hari yang paling disukai oleh Kak Feni dan semua orang rasanya sebab esok cuti. Minggu ni pulak ada cuti sambungan pada hari Isnin cuit Deepavali.


Perancangan cuti minggu nak bermalas-malasan saja di rumah. Nak kemas rumah yang macam tong sampah. Nak mendobi dan melipat kain baju. Itulah rutin hujung minggu kami. Nak berjalan tak tahu nak kemana dan dengan keadaan kewangan yang tak begitu meriah ni. 


Ada jugak rancangan nak bawa anak-anak pergi makan-makan tapi belum fikir nak makan kat mana. Kalau tak ingat nak masak makan dekat rumah je. Bila umur meningkat ni rasa malas nak keluar. Dapat cuti tu nak rehat kat rumah je daripada keluar nak hadap jem tambah lagi rumah Kak Feni yang sentiasa jem sokmo.


Nak keluar buang masa kat atas jalan baiklah duduk rumah rehat-rehat, makan dan tidur. Haha tanda dah tua. Cuma kesian dekat anak-anak. Sesekali nak juga keluar. Walaupun sekadar cuti mata di kedai ECO. Bukan anak-anak je yang seronok. Maknya pun tumpang sekali.


Cuti 3 hari ni nak kemas rumah. Macam-macam nak buat. Nak cuci tingkap. Nak asingkan baju-baju yang dah tak boleh pakai. Nanti ada masa nak pergi letak dekat tempat yang orang nak recycle. Nak sedekah dekat orang, zaman sekarang ni orang dah taknak. Beli dekat Shopee dengan Tiktok murah je. Jadi daripada buang begitu saja baiklah letak tempat yang sepatutnya.


Baju seluar anak-anak banyak yang dah tak muat. Semua nak asingkan dan nak pergi letak tempat recycle. Cita-cita tu besar, harapnya berjalan seperti yang dirancang. InshaAllah.



October 6, 2025

[Personal] Power Spek Mata Baru

Cuti 2 hari buat apa? Hairi Sabtu lepas Adik Rayyan kelas tambahan kami pergi buat cek mata di Sungei Wang Plaza sebab kat situ banyak kedai cermin mata dan harganya lebih murah dari kedai biasa. Masa yang diambil untuk siapkan spek mata pun tak lama sekitar 45 minit hingga sejam. Jadinya boleh siap dalam masa 1 hari. Jimat masa tak perlu ulang alik pergi ambil spek.

Kak Feni pun power mata dah berubah. Kedua-dua belah mata nampaknya power semakin turun suma silau naik. Alhamdulillah untuk power tapi untuk silau menaik.

Simpan sini untuk rujukan dimasa hadapan.

Power terbaru setakat hari Sabtu lepas. Kiri kanan dah sama powernya. Jadi kalau nak pakai contact lens boleh beli 1 power sahaja. Kalau sebelum ni kena beli 2 jenis power. Hurmmm macam beli je kan. Sesekali nak melawa. 

Tahun ni nampak gaya macam nak ada 2 kenduri lagi sebelum 2025 melabuhkan tirainya. Dah cek mata dan tahu power ni boleh la beli soft lens dekat kedai oren. Dah ushar dah yang murah-murah. Untuk daily use je. Maklumlah kalau tak pakai spek, langsung tak nampak dunia.


Hari Ahad semalam ada kenduri di Sungai Balak. Lepas kenduri jalan-jalan kat Bangi cari barang Umrah untuk Mak & ayah mentua serta Kak Ipar. Sempat beli 2 pasang kain ihram dan beberapa barang untuk pergi umrah. Lagi sebulan nak berangkat ke Mekah. Semoga dipermudah segala urusan umrah dan mendapatkan umrah yang mabrur hendaknya.


Kak Feni doakan semoga diberikan kesihatan yang baik untuk teruskan hidup ini. Nak membesarkan anak-anak dan juga nak terus berbakti pada agama, bangsa dan negara.

May 15, 2023

Setiap Hari Adalah Ujian

Hidup ni jangan berlumba dengan orang lain. Berlumbalah dengan diri sendiri untuk jadi lebih baik dari semalam. Jangan dengki dengan orang lain sebab setiap orang itu masing-masing punya rezeki yang Allah bagi. 


Ushar-ushar draft dalam blog ni banyak dah tak terpublish. Hahaha nampak nau baru nak start tulis ada je gangguannya kan. Nak start mood menulis ni bukan senang. Kadang-kadang jem jugak kepala nak fikir apa yang aku nak tulis kan kan.


Review gapo ever pun lama dah tak buat. Kak Feni just buat sharing pasal kehidupan harian yang ada kalanya best dan ada kalanya tak best. Dah nama pun hidup kan. Mestilah ada suka duka kan.


Nak membesarkan anak-anak ni bukan senang. Banyak sangat dugaannya. Kita plan macam ni, jadi macam tu. Belum lagi dugaan orang sekeliling yang tak banyak membantu. Nampak kita susah lagi lah dema senang kan. Biasalah manusia tiada yang sempurna.


Dalam hidup ni. Bila kita susah takde sape nak dekat. Bila kita senang sikit, ramai yang datang. Hakikat kehidupan macam tu lah. Alhamdulillah Kak Feni dalam tahap sederhana la kot sebab nak kata susah sangat tu. Tak jugak. Senang tu belum lagi. Masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Alhamdulillah sudah tidak meminta-minta orang kata.


Masa kecik biasalah hidup susah. Nak apa kena usaha sendiri jadi dah terbiasa nak apa-apa usaha sendiri. InshaAllah selagi ada kemampuan dan kudrat untuk buat sendiri. Akan ku usahakan yang terbaik untuk ubah nasib diri. Ada lebih boleh bantu orang lain yang memerlukan. Amin.



May 10, 2023

Cuti Hujung Bulan Dah Diluluskan



Alhamdulillah masih diberikan nafas oleh Allah S.W. T untuk nikmati hidup ini. Pejam celik dah pertengahan bulan Mei dah. Hari ni Kak Feni masih marathon untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Harapnya sempatlah sebabnya dah suntuk sangat ni. Namun kita harus mencuba sampai berjaya sebab tahun lepas gagal sebab uzur.


Tahun ni dengan penuh harapan agar berjaya selesaikan puasa 6. InshaAllah. Semuanya dengan izin Allah. Kita hamba hanya mampu merancang.


Diberikan peluang dan waktu untuk melakukan yang terbaik sudah tentu kita akan buat yang baik. Hujung bulan ni Kak Feni akan bercuti panjang untuk balik kampung. Rezeki anak buah dah nak bina masjid. Jadinya ambil peluang untuk cuti panjang sambil duduk dengan mek di kampung. Alhamdulillah.


Rezeki ni tak selalu datang sebab komitmen kita sebagai pekerja. Bukan senang nak dapat cuti. Dan kebetulan anak-anak pun cuti. Jadi boleh lah balik kampung. Suami Kak Feni tak tentu lagi boleh balik ke tak sebabnya jadual kerja dia yang padat. Tak mengapalah asalkan dapat izin kami untuk pulang. 


Ada rezeki dia boleh balik juga ke sana. InshaAllah. Banyak benda nak buat kat kampung ni. Harapnya cuaca tak panas sangat lah di kampung sebabnya sekarang ni mek kata dah lama tak turun hujan.

May 8, 2023

Raya Raya Selamat Hari Raya - Open House Sepanjang Bulan Syawal

Alhamdulillah untuk hari ini. Terima kasih ya Allah. Boleh update blog. Hahaha lama weh ambil mood nak menulis. Kadang-kadang buka tutup buka tutup tak tahu nak start dari mana.


Sempena Syawal yang masih bersisa ini. Kak Feni dengan rendah hati menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas segala kekhilafan diri samada yang sedar atau tidak sedar sepanjang hidup ini. Kita ni kadang-kadang tak sedar yang perbuatan kita ni mengguris perasaan orang lain.


Jadi untuk mengabdikan kenangan open hosue tahun ni. Kak Feni simpan lah di blog ini. Esok-esok rindu boleh throwback.

Dimulai dengan open house dekat rumah Kak Liza dan Abang Nuar di Taman Perkasa Indah. Dekat je rumah. On the way nak pergi rumah mak. Singgah dulu la.



Kemudian beli barang dapur untuk masak dekat rumah mak. Ada tetamu nak datang. Jadinya bersiaplah serba sikit kan. Hehe


Next sambil tunggu tetamu sempat beraya di Open House rumah Niza. Jiran lama yang sangat best. Masa ni jumpa sahabat lama yang tak jumpa. Kira macam jejak kasih lah. Nasib baik ada yang snap picture ni. Boleh buat kenangan.



 Tak boleh nak lepak lama di rumah Niza sebabnya tetamu nak datang. Jadinya merempit balik rumah. Singgah kejap pun jadilah kan untuk lepaskan rindu.


Next. Lepas tetamu istimewa mentua datang. Balik rumah siap-siap untuk ke open house rumah Angah pula. Last open house untuk hari sabtu.






Raya setahun sekali. Ada peluang berkumpul. Berkumpul lah ramai-ramai sebab kita tak tahu bila ada peluang lagi. Nikmati hidup ini. Ujian kita ke depan hari kita pun tak tahu. Semoga kita sentiasa menjadi yang baik-baik di kalangan orang baik. Eh.. begitulah.💕

May 5, 2023

Mei 2023 - Teristimewa

Pejam celik pejam celik dah bulan Mei. Tahun ni banyak all out pasal kerja. Tak fokus sangat untuk buat bisnes online tapi alhamdulillah rezeki tu ada sokmo. Syukur alhamdulillah.


Rezeki Allah tu kan luas. Kadang-kadang kita tak mencari pun dia datang sendiri. Tapi kita sebagai hamba harus berusaha sehabis baik dan buat yang terbaik untuk hidup ini.  Tak dinafikan kadang-kadang ada rasa down sangat tapi esok pagi bangun dan mulakan sekali lagi. InshaAllah semuanya akan baik-baik saja.


Selagi kita dinamakan manusia. Ujian dan kebahagiaan pasti akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita sampai akhirnya. Ujian susah ujian senang. Semuanya ujian dari Allah.


Yang paling penting kita kena nikmati dan jalani saja hidup ini. Rasa senang sikit kita berkongsi dengan yang memerlukan. Rasa tak mampu diam lebih baik. Begitulah nasihat dekat diri sendiri.


Dunia ini pentas ujian. Kita pun tak tahu bila kita akan dijemput pulang. Selagi ada peluang dan ruang. Buatlah yang terbaik. Jangan dengar cakap-cakap toksik yang boleh memusnahkan hidup kita. Biarlah gaji kita sikit tapi berkat.


Simpan sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Nikmati sahaja segala ujian yang Allah beri. Kadang-kadang kita rasa tak mampu tapi bila Allah kata kita mampu. Semuanya dengan izinya.

March 9, 2023

Salam Nisfu Syaaban Untuk Semua

Alhamdulillah masih diberikan waktu untuk hidup sampai hari ini. Semalam kita telah menyambut malam Nisfu Syaban. Hari ni ramai yang berpuasa. Alhamdulillah sebab masih diberikan waktu untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.


Sempena Nisfu Syaban ni Kak Feni dengan rendah hati memohon kemaafan di atas segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukan samada dalam sedar dan tidak sedar. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu dari diri sendiri.


Semoga yang datang kepada kita baik-baik saja. InshaAllah.


Niat tahun ni nak jadi lebih baik dari sebelum ini. Nak banyak tolong orang lain dan nak buat amal ibadat untuk bekalan ke alam sana. Syurga itu bukan percuma. Azam tiap-tiap tahun nak jadi insan yang lebih baik dari sebelum ni.


Amalan Umum Bulan Syaban :

1. Bersedekah

2. Istighfar 70x

3. Memperbanyakkan selawat

4. Membaca Selawat Sya'baniyah

5. Berpuasa 3 hari di awal, 3 hari di tengah, dan 3 hari di akhir bulan Sya’ban.


January 5, 2023

Harapan dan impian 2023

Ewah. Azam awal tahun nak hupdate entry banyak-banyak. Biasalah awal-awal ni semangat dia lain macam kan ?


Ada seribu juta plan nak buat tahun ni. Berjuta impian dan harapan nak capai. Nak buat dan sebagainya. Alhamdulillah semoga dalam 100% impian tu. 50% tercapai pun dah bersyukur sangat dah. Haha ni orang kata impian itu percuma. So mari kita bermimpi.


Minggu pertama di awal tahun ni, alhamdulillah prestasi kerja masih okey. Kerja tip top. Baru 3 hari kerja kan. Harapnya berterusan sampai hujung tahun. Balance cuti tahun lepas pun masih banyak lagi. Alhamdulillah. InshaAllah ada rezeki nak balik kampung. Semoga Allah permudahkan segala urusan. Amin.


Kita tak tahu apa yang Allah nak bagi dekat kita. Jadi sentiasa bersangka baik dengan Allah. Pasti yang terbaik untuk kita.


Tahun lepas sejak kena covid bulan September 2021. Kesihatan macam on off. Selsema dan demam selalu sangat. Selang sebulan mesti kena batuk dan demam. Habis sakit badan. Hujung tahun lepas Kak Feni MC 3 hari sebab demam. Tak larat betul badan. Baring je mampu. Bila test covid negatif.


Hurm harap tahun ni diberi kesihatan yang baik. Nak kerja nak kumpul duit. Nak tolong orang nak besarkan anak-anak dan nak capai berjuta impian ni.


Sekarang ni nak kuatkan iman dan amal. Nak buat bekalan ke akhirat. Disamping itu taknak menyusahkan orang. Nati ada idea sambung lagi.

September 20, 2022

16 September 2022 - Hari Pertama Lebuhraya SUKE Dibuka Untuk Umum

 Alhamdulillah 16 September 2022 lepas kami berpeluang untuk lalu highway baru iaitu SUKE singkatan dari Sungai Besi - Ulu Kelang. Kami mula dari turun Bukit Ampang dan habis di Cheras Hartamas. Kemudian naik dari Cheras ke Ampang. Perjalanan ambil masa 7 minit sahaja.


Best kan ? Jimat masa. Buat masa sebulan ni tol masih diberikan percuma untuk pengguna highway. Jadi boleh lah nak lalu 40 kali sehari pun. Hahaha


View dari highway ni sangat cantik. Masa Kak Feni lalu ramai orang berhenti di tepi jalan sebab nak bergambar. Biasalah masing-masing taknak lepaskan peluang kan. Semalam dengarnya dah ada yang kemalangan di sini. Jadi kita kenalah berhati-hati dan beringat selalu walau dimana berada ya.



Kami naik malam sebab siang tak sempat. Tu pun nasib baik husband nak melayan. Haha test jalan baru. Kak Feni sempat snap satu gambar untuk kenagan.


Lepas ni kita tunggu EKVE pulak siap. Boleh test jalan baru pulak. Tol berapa RM Kak Feni belum tau lagi. Hehe.



September 15, 2022

Pertengahan September

Hari ni dah setengah bulan September. Pejam celik pejam celik dah nak masuk tahun 2023. Masa berlalu begitu pantas. Kita manusia ni macam tak terkejar dengan masa. Bagi yang bekerja sendiri memang struggle la  bila dah hujung bulan. Orang yang kerja dengan majikan menarik nafas lega sebab gaji dah nak kunjung tiba.


Kak Feni alhamdulillah bab rezeki dengan berkerja masih ada. Di tambah dengan pendapatan sampingan yang meniaga secara online ni boleh lah buat bayar komitment bil-bil bulanan ni. Alhamdulillah rezeki dari Allah. Kita sebagai hamba kena banyakkkk bersyukur. 


Dapat sikit ke banyak ke bersyukur. Dapat sikit kita buat cara sikit. Dapat banyak kita buat cara banyak. Banyak-banyak bersedekah terutama kepada mak ayah, adik beradik dan saudara terdekat dulu. Yang lain-lain kita fikir kemudian. InshaAllah selamat hidup ini.





Terima kasih pada Yang Maha Pemberi sebab selalu memberikan rezeki yang tidak pernah putus kepada kami. Alhamdulillah. Kuatkan juga hati kami supaya sentiasa bersyukur dan beriman kepada Allah. 


Peringatan untuk diri sendiri. Setinggi mana pun kamu terbang. Jangan sentiasa mendongak langit. Sesekali pandanglah ke bumi untuk mensyukuri segala nikmat yang Allah beri. Sentiasa ingati diri bahawa apa yang kita miliki hari ini bukan milik kita selamanya. Bila-bila masa saja Allah boleh ambil balik apa yang beri. Jadi untuk apa kita nak rasa bangga diri ?


September 14, 2022

Kad BigPay Yang Kedua Dah Sampai

Alhamdulillah semalam Kak Feni dapat buka sampul kad baru. Kad lama dah nak expired. Jadi dia suruh request kad baru. Asal kenapa Kak Feni boleh ada kad Bigpay ni sebabnya nak beli tiket AirAsia. Kalau guna debit atau credit card kena caj. Jadi untuk menjimatkan kos kita apply lah kad Bigpay.


Kak Feni suka guna kad bigpay sebabnya tak link dengan bank account. Maklumlah sekarang ni kan sibuk dengan scammer. Yang mana boleh elak kita elakkan. InshaAllah selamat.


Kak Feni selalu pesan dekat kawan-kawan. Jangan link kan kad kredit atau debit kita di mana-mana media sosial ni. Begitu juga apa-apa apps jangan terus link dengan akaun bank kita. Kalau nak beli online. Masuk je dalam e-wallet. 



Lama tak guna Bigpay ni. Last guna tahun 2020 untuk beli tiket flight. Tahun lepas 2021 kan dalam PKP. Tahun ni baru nak aktif balik. 


Yang bestnya kalau kita masukkan duit dalam kad ni. Boleh je nak terus transfer ke bank lain atau kita cashkan di ATM mesin. Rasa macam nak berjimat cermat. Takut lari bajet. Masukkan duit dalam ni terus guna je kad. Contohnya.


Baca Juga Kelebihan Kad BigPay : Klik Sini.


Alhamdulillah selesai satu masalah. Kak Feni juga suka gunakan kad ni untuk belian online macam google playstore sebabnya akan dapat diskaun dan rebat. Jadi ianya memang menjimatkan. Selagi boleh jimat kita jimat kan.


Dalam dunia serba moden ni, kita kena pandai dalam memilih dan menjana pendapatan. Semoga yang baik-baik datang kepada kita.


September 12, 2022

Jalan-jalan Cuti Sekolah - Zoo Melaka

Alhamdulillah cuti sekolah tahun ni di awali dengan bercuti di Melaka. Bawa anak-anak pergi zoo dan tidur di Bayou Lagoon semalaman.


Sabtu 03/09/2022

Kami bertolak awal pagi dari rumah pukul 9.00 pagi. Pergi ambil Angah dan Opah budak-budak ni di rumah masing-masing. Kami berhenti makan sarapan di gerai Batu Sembilan. Makan roti canai sebiji seorang. 


Lepas sarapan kami bertolak terus ke Zoo Melaka. Oleh kerana cuti sekolah, jalan raya penuh dengan kereta. Jalan dah mula jem dari Bangi sampai Senawang. Kami pun tak tengok waze terus je ikut PLUS. Kalau tahu kami ikut LEKAS. Kurang sikit jem. Dah terlepas nak buat macam mana kan? Hadap jela. 


Bila waze tengok jangka sampai pukul 12.40 tengahari. Hakikatnya dekat pukul 1.00 baru sampai di Zoo Melaka. Lepas jer parking kereta terus jam besar tepi jalan dekat Zoo tu berbunyi menandakan jam pukul 1.00. Panas ceng wei. Kak Feni terus sakit kepala kena panas.


Kat depan zoo tu dah penuh gerai yang meniaga macam-macam barang. Yang paling menarik hati Kak Feni ialah topi yang tahan panas tu. Mula-mula nak beli yang murah je. Yang kain tu RM10. Bila pakai macam tak tutup je kepala ni. Makanya Kak Feni tukar amik yang anyam tu RM20. Kena tambah duit.(Lakiku ushar je dari jauh) Belum apa-apa dah shopping ye gaiss.



Ramainya manusia yang nak masuk dalam ni. Ada yang walk-in nak beli tiket memang kena beratur panjang. Nasib baik kami ni sangat bijaksana beli tiket online siap-siap supaya jimat masa tak perlu beratur untuk beli tiket. Jimat pun jimat.

Boleh beli dan berjimat klik link [Claim a MYR 16 discount on KKday for free】Available in over 500 cities and 80 countries in the world. Click the link and get the reward→https://www.kkday.com/en/i/GL6EKH?cid=10106&p=link

Nak naik tramp kena bayar ya teman-teman. Kami 9 orang RM150.00. Oleh kerana kena tunggu lama sampai 45 minit. Kami jalan je kaki dalam tu. Ramai orang berjalan di zoo. Letihnya ya ampun macam nak tercabut kaki.


Kak feni memang tak suka aktiviti outdoor sebab tak larat nak jalan. Demi anak-anak ku gagahi jua. Hahaha



Jauh juga jalan dalam zoo ni jadi kalau ada niat nak masuk zoo, pakailah kasut sport atau sneaker yang selesa untuk berjalan. Kami berjaya juga pusing habis satu zoo walaupun mulut tak henti membebel sebab penat. Hihi.









Ada banyak juga pondok dan gerai makan dalam zoo. Jadi kalau penat boleh singgah rehat hilangkan penat. Tapi pondok agak kotor sebab tak dibersihkan. Jadi kena hati-hati pilih. Pondok yang Kak Feni duduk ni pun kotor sebenarnya kat belakang. Ada tempat bersih di tepi-tepi tu boleh lah buat berhenti buat rehat kaki. Tu Rayyan dan monyok sebab penat sangat.


Next kami teruskan perjalanan dan tengok gajah. Masa ni mood nak berphoto dah kelaut sebab letih.




Lepas tengok gajah terus jalan cari jalan keluar nak keluar. Allah jauh lagi weii. Dah lepas keluar tu cepat-cepat nak sampai ke tempat kami menginap nak rehat. Nak solat dan mandi dan bersiap untuk keluar makan malam.


Cukuplah kot update entry untuk cuti-cuti sekolah zoo. Haha karang bersarang pulak blog hakak ni. Tak berupdate dan otak pun tepi. Sekian. Ada masa Kak Feni share lagi kalau ada benda yang best. 💓


August 10, 2022

Alhamdulillah untuk hari ini

Alhamdulillah dapat datang kerja dan anak-anak pergi sekolah pagi ni. Allah susahnya nak lawan penyakit malas ni kan. Nak istiqamah je arah kebaikan. Nak buat baik dan disiplinkan diri. Kita mak-mak ni cuba yang terbaik untuk keluarga.


Kita mak-mak ni kena kuat. Tak boleh lemau-lemau. Kalau rasa malas sekalipun tetap kena kuat untuk suami dan anak-anak. Kekuatan rumah tangga. Kalau kita pun lemah, seluruh isi keluarga akan lemah. Betul tak ?


Suami pun, kalau kita membebel baru nak buat. Ibarat macam anak sulung. Begitulah ceritanya. Setiap rumah tangga tu Allah uji macam-macam kan. Jadi kita hamba ni jangan putus asa untuk sentiasa jadi baik dan buat yang terbaik.


Hari ni Kak Feni terbaca satu kisah dimana tentang aura negatif. Bila kita bersama orang yang sentiasa negatif, kita akan jadi negatif orangnya. Jadi kena cari orang yang sentiasa positif untuk hidup ini. Duduk dalam persekitaran negatif secara tak langsung aura negatif tu akan melekat dekat kita.


Pagi-pagi kena selalu beryukur dengan nikmat yang Allah bagi supaya kita boleh nikmati aura positif yang ada di sekitar kita. Kalau ada peluang bersahabatlah dengan alam sebab alam kita ni penuh dengan aura positif. 



Semoga kita dikurniakan rezeki yang melimpah ruah bagaikan air yang mengalir tanpa henti. 💓

August 5, 2022

Salam Jumaat 7 Muharram 1444

Kadang-kadang hidup ni. Apa yang kita inginkan Allah tak tunaikan atau lambat tunaikan bersebab. Dia sedang merancang yang lebih baik untuk kita. Kita merancang dan merancang. Plan itu ini tapi at last tak jadi sebab macam-macam sebab.


Kita renungkan kembali, mesti ada hikmah kenapa ini terjadi. Mungkin Allah sedang beri yang terbaik untuk kita cuma kita yang tak nampak sebab apa ? Sebab kita ni tak sabar.


Allah suruh kita sabar sikit je tapi kita ni kalut. Semua nak cepat. Kalut nak kejar apa tak tahu. Last-last habuk pun takde.


Bila dah berumur 30-an nak masuk 40-an ni. Alhamdulillah Allah bagi hidayah untuk berfikir lebih matang untuk setiap tindakan. Kadang-kadang kita bila nak marah boleh buat tindakan yang akan membinasakan bukan saja diri sendiri malah orang lain.


Jadi tenang. Bertenang dan tarik nafas untuk membuat keputusan. Bila kita bertenang, keputusan yang kita buat pun lebih bijak dan rasional. Biasalah hidup ini. Tak semuanya mudah seperti yang kita mahukan. Allah uji sikit untuk tengok sejauh mana iman kita.



Semoga pengakhiran kita yang baik-baik dan sentiasalah berdoa agar dijagakan hati dan iman oleh Allah. 

August 2, 2022

Ogos Kembali Lagi - Salam Bulan Kemerdekaan

Alhamdulillah Ogos kembali lagi. Bulan merdeka bagi rakyat Malaysia. Bulan ni akan kalutlah ibu bapa penjaga nak beli bendera sebab nak sambut kemerdekaan. 2 tahun sambut di rumah. Tahun ini, inshaAllah boleh sambut ramai-ramai.


Anak-anak pun dah riuh rendah cerita aktiviti tahun ni. Merdeka merdeka merdeka !


Masa pergi kedai buku pun dah banyak jual bendera. Anak-anak pun sibuk cakap nanti kena beli bendera. Pejam celik dah habis setengah tahun kan ?


Lagi berapa bulan je nak masuk tahun baru 2023. Umur pun makin bertambah. Harapnya yang datang kepada kita yang baik-baik saja. Begitulah doanya.


Ni anak-anak sekolah rendah memang seronoklah nak sambut merdeka. Tahun ni baru Adik Rayyan boleh sekolah dengan baik. 2 tahun sibuk dengan PKP dan virus C19 ni. Tahun ni baru boleh makan dekat kantin. Kalau tak semua kena order dulu dan makan dalam kelas.


Bersyukur sangat dengan perkembangan semasa. Tapi masih kena beringat sebab sekarang ni macam-macam penyakit yang datang. Tak kira tua atau muda semua kena. Hospital nampaknya dah semakin penuh semula. Jadi sama-sama kita jaga diri, jaga kesihatan dan jaga semua lah.




July 21, 2022

Badan Tak Sihat Nak Kerja Pun Tergendala

Bagi mengelakkan sawang banyak. Marilah kita update blog Kak Feni ni. Mood nak menulis ni bukan apa tau. Dia ni kena asah dan tulis sokmo. Kalau on off macam ni lah jadinya. Jap tulis jap biar.


Sebenarnya Kak Feni dan family kurang sihat sejak minggu lepas. Lepas balik dari kampung tak tahulah penat ke apa. Rasanya rehat dah cukup. Makan pun sedap. Nak kata stress ke apa entahlah. enjoy je hidup ni. Susah ke senang ke hadap jelah kan.


Isnin lepas Kak Feni terpaksa ambil MC dengan doktor sebab tak larat sungguh nak masuk opis. Cakap dengan doktor kepala sakit dan batuk. Badan ni lemah betul. Lepas kena covid tahun lepas bulan 9. Kak feni rasa macam imun badan ni lemah je. Pergi Klinik area Langat semua penuh. Beratur lama nak tggu giliran.


Sekarang ni Kak Feni masih on ubat selsema dan batuk sebab hingus ni susah nau nak stop. Nak bernafas pun susah rasa. Kita ni dahlah mak-mak. Nak taknak kena juga buat kerja. Kat opis kena kat rumah pun kena. Huhuhu semoga Kak Feni sentiasa kuat untuk menghadapi segala ujian ini. Banyak lagi impian nak capai nih.



Kak Feni memang spare vitamin c ni di opis sebotol dan di rumah sebotol. Tapi selsema kali ni degil betul la. Tapi hari ni hingus ni macam dah kering tinggal sisa-sisa je. Harap esok sembuh sepenuhnya.


Kak Feni borong banyak botol sebelum naik harga bulan 6 hari tu. Bulan ni dah naik harga. So kawan-kawan kalau nak beli vitamin Shaklee, jangan terkejut harga dah naik ya.


Musim penyakit macam-macam ni sama-sama kita jaga diri. Semua hospital dan klinik sedang mengalami kesesakan jadi kita jaga kita jela. Kalau sakit-sakit biasa makan ubat dan gunalah rawatan altenatif. Kalau dah tak boleh buat apa, segeralah ke klinik atau hospital untuk rawatan. 


Serah dekat Allah jelah untuk urusan yang tak mampu kita uruskan.

July 19, 2022

Perjalanan Balik Kampung Untuk Berhari Raya Aidil Adha

Bismillahirahmanirahim. Naik bersawang dah blog ni Kak Feni tak jenguk. Sibuk dengan urusan dunia yang tak pernah putus.


Kami balik kampung raya qurban di Kelantan tahun ni. Alhamdulillah masih ada mek yang boleh bermanja dan balik kampung. 


Kami bertolak balik kampung pada 09/07/2022 lepas subuh. Mulanya Kak Feni set alarm nak bangun pukul 3.00 am kononya nak gerak masa orang tak ramai atas jalan. Bila sedar pukul 3.00 am kak Feni on waze tengok jalan merah menyala bermakna atas jalan penuh dengan kereta. Kak Feni tanya husband macam mana nak teruskan atau tunggu dulu. Dia cakap tunggu dulu. Makanya pukul 5.00 pagi kami bersiap untuk bertolak. Punggah barang dari atas ke bawah. Terus jalan.


Kami sampai di tol Gombak pukul 7.00 am. Jalan dah mula jem bila nak masuk tol Gombak. Anak-anak sibuk suruh abahnya ikut jalan lama Gombak - Bentong. Sebab gelap lagi abahnya taknak sebab lereng bukit yang curang. Makanya lalulah kami jalan biasa. Nak sarapan dekat  Genting Sempah tapi penuh. 



Sebelum tu kami singgah di gerai tepi jalan yang lori selalu stop tu. Sebelum ni hari biasa boleh makan nasi bungkus sedap. Oleh kerana terlalu ramai orang, makanan pun habis. Hanya ada air panas je. Kami order air panas jela.



Kami teruskan perjalanan sampai Genting Sempah R&R. Kami pusing sini sebab nak ikut jalan lama sampai Raub. Nak ikut highway pun boleh tapi taknak hadap jem makanya kami pun terpaksa bersesak di Genting Sempah. Masa ni anak-anak dah yuya-yuya lapar. Nak berhenti sini pun bercinta. Kami teruskan perjalanan ke Raub. 



Kami singgah di Lemang Toki 2 di Bentong. Alang-lang dah jem ni kan. Kita santai jela enjoy our journey. Alhamdulillah makanan sini semua best-best. Kak Feni ambil nasi goreng dan sambal sotong. Husband makan mee dan kuetiaw goreng, Abang Aus makan nasi lemak hijau dengan ayam gorang dan adik Rayyan share makanan dengan abahnya. 


Kak Feni tamak haloba order pulak satu set ayam bakar. Haha tak habis boleh bungkus makan dalam kereta. Dan yang bestnya memang sedap ayam bakar. Anak-anak tak nak makan sebab kuah dah campur. Jadi Kak Feni sorang jela ngap. Kehkkeh keh...


Okey lepas makan kami teruskan perjalanan kami. Masa ni dalam pukul 10.00 pagi. Kami ikut jela waze ikut mana yang boleh lalu. Masuk highway Central Spine sampai Raub.


Dah start bercinta sebab dah penuh dengan kereta. Masa ni husband Kak Feni yang drive. Kami 3 beranak macam biasa tidur sebab mengantuk. Huhu. Teruskan perjalanan sampai ke Kuala Lipis. Masa nak masuk Kuala Lipis tu kami singgah di Speemart 99 untuk beli kudap-kudap. Dengan family macam ni la kan. Mesti ada kudap-kudap untuk kunyah-kunyah.


Seterusnya kami teruskan perjalanan. Ikut waze lagi. Kali ni dia bagi jalan ikut Felda Kechau. Haha kali ni kami redah je. Masuk felda dan keluar felda. Alhamdulillah banyak juga kereta yang ikut belakang kami, agaknya nak lari dari jem kot. Kami lalu iku ladang kelapa sawit. 


Keluar dari Felda, anak-anak dah riuh rendah nak makan tapi bila berhenti taknak makan pula. Biasalah gelenyar.


Kami singgah di Restoran Kg Melaka, Kuala Lipis untuk makan. Kak Feni yang taknak makan pun makan juga sebab ikan bakar dia sedap sangat. Lupa nak ambil gambar. Next time kalau lalu sini kami pasti akan singgah lagi. 




Lepas makan, husband cakap ummi lah pulak drive, abah dah mengantuk. Makanya Kak Feni lah yang drive sampai ke highway. Kami lalu jalan yang tak pernah kami lalui. Dok fikir jalan ni akan jumpa di mana. Rupanya kami akan keluar iku Chegar Perah. Naik bukit turun bukit dengan pemandangan yang subahanallah cantik sangat.


Nasib baik siang, keadaan cerah. Kalau malam tobat lahum tak jalan dah sebab kiri kanan hanya hutan dan ladang. Nak jumpa rumah orang memang takde langsung. Allahuakbar tak disarankan untuk lalu terutamanya wanita. Kalau jadi apa-apa susah orang nak tolong.



Okey dah masuk highway jalan terus jem sampai lah ke Gua Musang. Kak Feni drive sampai Felda Chiku. Berhenti di petrol pump sebab nak tukar driver. Bagi husband lah drive sebab Kak Feni dah mengantuk. Haha baru drive sikit dah mengantuk.


Kami kemudian singgah di Kuala Krai untuk rehat dan rawat. Makan, solat dan sebagainya. Teruskan perjalanan dan akhirnya setelah 16 jam perjalanan kami tiba juga di rumah TokMek. Alhamdulillah hilang penat sebab dapat jumpa orang tersayang. Semoga Allah sentiasa memberkati apa yang kami lakukan. InshaAllah.





Majlis Tautan Ukhuwah Aidilfitri Anak Gerik & Pengkalan Hulu di Lembah Klang [19 April 2026]

Semalam berkesempatan menghadiri Majlis Tautan Ukhuwah Aidilfitri untuk perantau Gerik & Pengkalan Hulu yang berlangsung di Galaxy Ampan...