Showing posts with label Lifestyle. Show all posts
Showing posts with label Lifestyle. Show all posts

October 17, 2025

[Personal] Plan Cuti 3 Hari Sempena Raya Deepavali



Hari ni hari Jumaat dan hari terakhir kerja untuk minggu ini. Hari yang paling disukai oleh Kak Feni dan semua orang rasanya sebab esok cuti. Minggu ni pulak ada cuti sambungan pada hari Isnin cuit Deepavali.


Perancangan cuti minggu nak bermalas-malasan saja di rumah. Nak kemas rumah yang macam tong sampah. Nak mendobi dan melipat kain baju. Itulah rutin hujung minggu kami. Nak berjalan tak tahu nak kemana dan dengan keadaan kewangan yang tak begitu meriah ni. 


Ada jugak rancangan nak bawa anak-anak pergi makan-makan tapi belum fikir nak makan kat mana. Kalau tak ingat nak masak makan dekat rumah je. Bila umur meningkat ni rasa malas nak keluar. Dapat cuti tu nak rehat kat rumah je daripada keluar nak hadap jem tambah lagi rumah Kak Feni yang sentiasa jem sokmo.


Nak keluar buang masa kat atas jalan baiklah duduk rumah rehat-rehat, makan dan tidur. Haha tanda dah tua. Cuma kesian dekat anak-anak. Sesekali nak juga keluar. Walaupun sekadar cuti mata di kedai ECO. Bukan anak-anak je yang seronok. Maknya pun tumpang sekali.


Cuti 3 hari ni nak kemas rumah. Macam-macam nak buat. Nak cuci tingkap. Nak asingkan baju-baju yang dah tak boleh pakai. Nanti ada masa nak pergi letak dekat tempat yang orang nak recycle. Nak sedekah dekat orang, zaman sekarang ni orang dah taknak. Beli dekat Shopee dengan Tiktok murah je. Jadi daripada buang begitu saja baiklah letak tempat yang sepatutnya.


Baju seluar anak-anak banyak yang dah tak muat. Semua nak asingkan dan nak pergi letak tempat recycle. Cita-cita tu besar, harapnya berjalan seperti yang dirancang. InshaAllah.



October 6, 2025

[Personal] Power Spek Mata Baru

Cuti 2 hari buat apa? Hairi Sabtu lepas Adik Rayyan kelas tambahan kami pergi buat cek mata di Sungei Wang Plaza sebab kat situ banyak kedai cermin mata dan harganya lebih murah dari kedai biasa. Masa yang diambil untuk siapkan spek mata pun tak lama sekitar 45 minit hingga sejam. Jadinya boleh siap dalam masa 1 hari. Jimat masa tak perlu ulang alik pergi ambil spek.

Kak Feni pun power mata dah berubah. Kedua-dua belah mata nampaknya power semakin turun suma silau naik. Alhamdulillah untuk power tapi untuk silau menaik.

Simpan sini untuk rujukan dimasa hadapan.

Power terbaru setakat hari Sabtu lepas. Kiri kanan dah sama powernya. Jadi kalau nak pakai contact lens boleh beli 1 power sahaja. Kalau sebelum ni kena beli 2 jenis power. Hurmmm macam beli je kan. Sesekali nak melawa. 

Tahun ni nampak gaya macam nak ada 2 kenduri lagi sebelum 2025 melabuhkan tirainya. Dah cek mata dan tahu power ni boleh la beli soft lens dekat kedai oren. Dah ushar dah yang murah-murah. Untuk daily use je. Maklumlah kalau tak pakai spek, langsung tak nampak dunia.


Hari Ahad semalam ada kenduri di Sungai Balak. Lepas kenduri jalan-jalan kat Bangi cari barang Umrah untuk Mak & ayah mentua serta Kak Ipar. Sempat beli 2 pasang kain ihram dan beberapa barang untuk pergi umrah. Lagi sebulan nak berangkat ke Mekah. Semoga dipermudah segala urusan umrah dan mendapatkan umrah yang mabrur hendaknya.


Kak Feni doakan semoga diberikan kesihatan yang baik untuk teruskan hidup ini. Nak membesarkan anak-anak dan juga nak terus berbakti pada agama, bangsa dan negara.

June 1, 2022

Kak Maria Last Day After 34 Years Service

 Simpan sinilah. Esok-esok rindu boleh throwback macam di facebook dan instagram tu.






Terima kasih banyak-banyak Kak Maria belanja kami makan kek sedap semalam. Alhamdulillah untuk khidmat kepada company selama 34 tahun. Sudah masanya untuk bersara dan nikmati hidup ini. Terima kasih untuk segalanya. Tunjuk ajar dan selalu nasihat kami tentang kerja dan kehidupan.


Betullah hidup ini. Kita akan lebih menghargai bila orang dah jauh atau tak ada. Dekat gaduh jauh rindu begitulah hidup ini.


Ramai insan yang datang dan pergi dalam hidup kita adalah satu kenangan yang indah untuk kita kenang. Alhamdulillah terima kasih ya Allah sebab sentiasa memberikan orang yang baik-baik untuk berada di sekelilingku. Menjadikan aku juga insan yang lebih baik dari sebelum ini.





Hari ni datang office dah rindu bila tengok tempat Kak Maria dah kosong. Sedih pula rasa. Semalam pun sebelum balik dah pesan apa-apa keep in touch. Jangan lupa wasap kalau ada apa-apa. 


Paling lama kerja dengan boss kami. Apa-apa boleh rujuk dengan Kak Maria dan juga guru Bahasa Inggeris kami. Hahaha maklumlah nak buat surat pun kena tanya pakar dulu. 


Semoga Kak Maria terus berjaya dan bahagia selalu.


June 30, 2021

Insuran Penting atau Tidak ?

Dalam blog satu lagi Kak Feni ada berkongsi tentang selesai terminate policy insuran yang dibuat hanya melalui panggilan call. Selesai Batalkan Policy Insurance Sun Life. Apa-apa policy pun mesti akan ada terma dan syarat. Kak Feni baca betul-betul syarat-syarat dia dan fahamkan walaupun tak berapa nak faham.


Dalam polisi tu akan ada tempoh bertenang. Polisi Kak Feni tu dia bagi 15 hari tempoh bertenang. Alhamdulillah lega sebab boleh berfikir dengan waras. Dah dapat je polisi terus Kak Feni buat surat untuk terminate sebab rasa macam tak mampu.


Artikel tu banyak view dari google dan ramai yang komen, pm, whatsapp, dm dekat ig dan emel Kak Feni untuk mohon bantuan macam mana nak buat surat. Maafkan Kak Feni bagi yang terlepas pandang sebab Kak Feni pun kadang-kadang tak perasan. Bukan sombong atau taknak tolong tapi kalau untuk fast respond Kak Feni akan reply email sebab Kak Feni inshaAllah hari-hari akan check email.


Walaupun artikel tu ramai ejen insurans tak suka tapi itulah hakikatnya yang Kak Feni hadapi. Bukan nak mencantas rezeki orang. Percaya dengan rezeki yang Allah bagi. Bila kita mudahkan urusan orang lain, inshaAllah Allah mudahkan urusan kita.


Penting ke tak penting insurans ni ?


Terpulang pada individu. Macam Kak Feni pun rasa sangat penting juga, tambahan untuk anak-anak. Kak Feni memang ambil takaful untuk anak-anak. Ambil dari umur berapa bulan lagi. Alhamdulillah masih on takaful anak-anak tu walaupun paymentnya on off. Maklumlah kadang-kadang pendapatan tak menentu.


Teringat masa Abang Aus umur dalam 1 hingga 3 tahun. Selalu masuk hospital sebab selalu sakit. Gaji Kak Feni dengan suami masa tu memang tak banyak. Cukup makan je tapi bab anak-anak memang nak bagi yang terbaik. Dapatlah masuk hospital swasta dengan sekali masuk bayaran pun dah beribu. Seingat Kak Feni 3 kali jugak lah abang aus ulang alik masuk hospital. Kos rawatan masa tu cecah ribuan ringgit. Kalau takde takaful memang tak dapat la. Nak tunggu hospital kerajaan tak tahu lah. Tu lah kelebihan takaful.


Ikut polisi masing-masing. Untuk polisi Abang Aus, kalau warded, takaful akan bayar RM150 untuk semalam. Sekarang Abang Aus dah 9 tahun lebih. Takaful dia pun dah berumur 9 lebih. Adik dah nak masuk 7 tahun. Alhamdulillah walaupun celap celup bayar tapi masih belum lapse. InshaAllah ada duit nanti kita bayarlah.


Ini untuk masa depan anak-anak. Andai jadi apa-apa kat ummi dengan abah. InshaAllah ada lah backup sikit untuk anak-anak. Apapun kita serahkan semua urusan kita pada Allah. 


Bagi Kak Feni untuk mereka yang ada banyak tanggungan contohnya buat loan ke apa ke baik ambillah takaful atau insuran supaya kalau jadi apa-apa pada diri kita, orang  lain tidak menanggung bebannya. Kita pun boleh meninggal dengan tenang. InshaAllah begitulah hendaknya.


Itulah sedikit perkongsian Kak Feni pasal insuran atau takaful ni. Alhamdulillah yang baik tu dari Allah dan yang kurang itu dari Kak Feni sendiri.

July 21, 2020

5 Tips Bagaimana Menyusun Atur Bilik Untuk Dapatkan Tidur Yang Lebih Baik ?

Beberapa minggu lepas Kak Feni menghadapi satu masalah iaitu susah nak tidur malam. Badan dan otak penat sebenarnya namun bila nak lena tak boleh nak lena dengan baik. Bila tak dapat tidur yang berkualiti, rutin harian pun macam terganggu dan tak produktif.

Jadi Kak Feni google cara macam mana nak dapatkan tidur yang baik. Jom Kak Feni kongsikan semula agar sesiapa yang ada masalah macam Kak Feni boleh cuba tips yang sama ni.

Photo kredit to : Sirap Limau


1. Kemaskan Segala Benda Yang Bersepah 


Biasalah bilik kan. Ada banyak sangat barang yang kita guna hari-hari. Nak-nak pula rumah yang kecil macam rumah Kak Feni. Buang segala benda yang bersepah dan serabut mata memandang. Susun dalam kotak atau simpan di tempat yang sesuai.

2. Biarkan Ruang Terbuka


Kalau ada tingkap, buka tingkap agar pengaliran udara dapat keluar masuk dengan sempurna. Kadang-kadang udara dalam bilik pun tercemar disebabkan oleh bau-bauan yang kurang enak.

3. Sentiasa Kering Dan Sejuk


Pengaliran udara yang baik sangat membantu. Ada rumah dipasangkan dengan pendingin udara untuk menyejukkan bilik. Ada yang hanya menggunakan kipas. Tak kisahlah janji boleh menyejukkan udara yang hangat.

4. Dapatkan Penutup Mata dan Telinga (jika perlu)


Yang ni memang penting tambah-tambah lagi macam Kak Feni yang ada 2 anak kecil. Kak Feni sakit kepala sangat jadi terpaksa guna bantal untuk tutup mata sebab cahaya lampu. Kita nak tidur anak-anak sibuk nak main.

5. Buangkan Segala Gangguan


Buang benda-benda yang tak diperlukan dalam bilik. Barang-barang mekap yang dah tamat tempoh ataupun pakaian yang tak boleh dipakai eloklah dibuang ataupun diberikan kepada orang yang mahu (sekiranya masih elok). Ikut kesesuaian sendiri.


Setelah Kak Feni ikuti beberapa tips di atas, Kak Feni dapat tidur dengan lena dan tenang. Jadi rutin harian pun dapat dijalankan dengan tenang dan bahagia. Alhamdulillah.

March 23, 2020

Day 6 | Perintah Kawalan Pergerakan

Assalamualaikum. Kembali lagi menulis tentang aktiviti harian sepanjang menjalani hidup dalam tempoh kawalan pergerakan ni.

Apa khabar hari ni ? Rasa macam lama dah tubuh badan ni tak kena cahaya matahari. Hari  ni pulak cuaca pun mendung jer dari awal pagi. Tak panas sangat dan dingin je rasa. Kadang-kadang hujan turun sekejap-sekejap.

Hari ni nampaknya kes kematian melibatkan Covid-19 dah menjangkau 14 orang. Allahuakbar. Masa ni memang rasa insaf sangat. Cukup ke amalan aku andainya Allah juga ambil aku dalam masa terdekat ni?

Setakat ni alhamdulillah syukur sebab segalanya masih okey. Bekalan makanan cukup dan anak-anak pun behave je walaupun ummi kadang keluar juga suara mak kau hijau.


Senyum dan bersyukurlah kita selagi diberi peluang untuk menikmatinya. Ramai orang diluar sana yang sedang bertungkus lumus dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Kepada petugas-petugas frontliners, kami sebagai rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih.

25 hb Mac, stok vitamin C dan juga Basic H akan sampai. Jadi sesiapa yang nak order boleh terus wasap Kak Feni. +601115672780 atau KLIK SINI.




March 22, 2020

Day 5 | Tempoh Kawalan Pergerakan

Macam mana keadaan hari ini ? Kami pagi petang siang malam dok berperang dengan anak-anak.

Alhamdulillah hari ni dah mula buka al-quran dan baca setiap kali solat fardu. Baca minimum 2 muka surat setiap kali solat. Rajin sikit lebih. Alhamdulillah. Ni sebenarnya masa untuk lebih dekatkan diri dengan Allah. Sebelum ni asyik kejar dunia je. Bila dah jadi macam ni banyak masa boleh luangkan untuk Allah.



Abah dah mula kerja dan tak balik kena tidur di homestay untuk keselamatan bersama. Ulang alik pun susah juga dan penat sangat.

Bagi menghilangkan rasa boring dengan masak, makan, tidur, bangun, solat, mengaji dan sebagainya. Hari ni dah terjebak dengan novel online pulak. Dok scroll fb lepas tu terbaca novel lepas tu tersuka tanpa sengaja dan terjebak. Hari ni terpengaruh untuk langgan online. Tadi dah pun topup guna google akaun. Aduss duss dusss tak pernah dibuat oleh Kak Feni. Hari ni dah melayang duit dalam akaun BigPay. Haha tak berani nak add kredit atau debit card. Guna je akaun BigPay yang ada baki dalam RM12 tu. huhuhu


Bukan boleh nak fokus baca sangat pun sebabnya dok berebut handphone dengan anak-anak. Lepas charge, charge hp tu sebabnya habis dibuat tengok youtube dan main game. Padahal dah ada 1 lagi hp lama ummi. Nak buat macam mana anak ada 2. Sorang kan bergaduh.

Hari ni dok pantau telegram pasal Covid-19 tu dah mencecah 10 setakat pukul 6.00 petang ni. Allahuakbar. Semoga baik-baik jer datang lepas ni. Yang mana duduk rumah jer. Bagi kerjasama kepada semua. Kurangkan rantaian jangkitan. Yang mana ada simptom Covid tu boleh call tanya hospital/klinik yang berkenaan. Yang sihat walafiat jangan dok gatai-gatai keluar. Bagi kerjasama, kesian dengan frontline yang bertungkus lumus bekerja untuk kita.

Itu jela kot bebelan hari ni. Nak mandi nak solat maghrib awal.

March 21, 2020

Day 4 - Perintah Kawalan Pergerakan

Assalamualaikum semua. Haha baru sudah masak ni. Hari ni masak kobis tumis kicap, ayam goreng dan ikan goreng je.




Bangun pagi pastikan diri sendiri dan anak-anak mandi bersih-bersih. Mandi dengan sabun dari hujung rambut sampai hujung kaki. Riuh rendah dalam bilik air.

Hari ni abah awal pagi dah gerak ke tempat kerja. Nak mula bertugas di tempat baru. Tak tahu bila balik. Huhuhuuuu semoga baik-baik saja, inshaAllah.

Bila duduk rumah dan jadi suri rumah sepenuh masa ni memang masa dengan anak-anak jela. Depa pun dok bertepek ngan ummi. Masa abah ada pun tido dengan ummi jugak. Ni abah pergi kerja jauh lagi lah.

Hari ke 4 dah berjaya kami lalui dengan penuh kesabaran. Walaupun agak huru hara tapi alhamdulillah masih boleh masak makan dan tido dengan aman. Duduk rumah sambil layan handphone masing-masing. Ummi je kadang-kadang ada order masuk kena buat order. Nasib baik buat juga bisnes online ni. Dalam keadaan macam ni memang boleh dapat duit juga.

Semalam buat post pasal tudung bawal yang kami ambil stok hari tu sebelum tempoh kawalan pergerakan bermula. Ada juga yang minat dan bank in duit untuk booking. Cantik-cantik semuanya tudung tu sampai kami sendiri pon geram dan berkenan.


By the way Kak Feni juga tengah kumpul order untuk Vitamin C yang dah habis stok sekarang ni. Kak Feni kumpul order siap-siap sebab stok akan sampai dalam masa terdekat ni. Jadi kalau siapa-siapa nak order boleh terus kontek Kak Feni melalui wasap +601115672780 atau klik sini. Deposit diperlukan sebabnya Kak feni pun kena letak deposit bagi booking.

Tq kepada yang selalu turunkan komen  di blog Kak Feni. InshaAllah masa banyak free ni bolehlah jalan-jalan blog uols.




March 20, 2020

Day 3 - Perintah Kawalan Pergerakan

Hari ke-3 baru nak mula tulis sebab mood memang kelaut hijau biru. Susah hati sebab abah adalah salah seorang petugas front line bahagian pembersihan. hari-hari meeting hari-hari kena pergi kerja jauh. Esok dah mula kena outstation tinggallah kami kat rumah opah.

Kak Feni dah order bola ni lama dah sejak awal bulan Mac lagi sebab tau anak-anak mesti boring. Sejak kena perintah kawalan pergerakan ni. Kami memang lepak dalam rumah tak keluar-keluar.

Hari ni kami buat aktiviti dalam rumah dengan melayan handphone dan main bola dalam rumah. Ummi macam biasa. Masak, makan lepas tu tido. Bangun tido masak pula.



Sementara abah takde kena kerja ni, kami duduk rumah dan buat segala aktiviti yang boleh menghilangkan rasa boring. Abang Aus memang tak suka tidur siang jadi dia lah yang dok soksek-soksek sorang-sorang. Adik pulak tengahari memang dia akan tidur lepas makan sama macam ummi. Dok care ke tidur jer.

Habis kuat wasap dengan abah tanya dah makan ke belum? Macam mana kerja ? Okey ke abah? Lepas tu pesan cuci tangan sokmo. Jaga kesihatan dan kebersihan. Makan vitamin C jangan lupa. Tu jela aktiviti kami sepanjang abah kena outstation.

Malam pulak baru boleh video call untuk ubat rindu. Huhu semoga segala virus Covid-19 ni cepatlah berakhir. Mari kita sama-sama muhasabah diri dan berdoa agar musibah ini berlalu pergi.

March 4, 2020

Semoga Yang Baik-baik Datang Kepada Kita

Menghitung hari detik demi detik. Ewah ! Macam lagu Kris Dayanti pulak.

Pagi ni suami Kak Feni dah wasap awal katanya nak balik dari Nilai. Alhamdulillah. Balik kejap je sebab nak tengok anak-anak. Esok kena pergi lagi dan balik hari. Lusa malam nak kena pergi Johor pulak sebab ada seminar di sana sampai hari Isnin.

Balik dari seminar terus sambung kerja di Nilai. Lepas seminggu pula baru boleh balik. Harapnya macam tulah. Bila company abah dapat tender cuci bangunan di Nilai. Maklumlah kerja dalam bidang pembersihan kan.

14 haribulan ni dah start cuti untuk anak-anak. Ummi tak tahu nak plan nak bawa gi mana sebab risau dengan keadaan semasa sekarang ni. Segala viruslah apa lah. Huru hara rasanya. Mood nak berjalan pun takut tapi nak taknak hidup kena teruskan juga.

Sementara abah takde kerja luar ni, kami anak beranak duduk dengan mertua Kak Feni. Walaupun rumah kami dekat je tapi suami Kak Feni tak bagi sebab anak-anak susah bangun pagi terutama yang sulung tu. Selalu buat akai. Kalau duduk rumah opah dema. Pagi-pagi dah kena trompet nak taknak kena bangun awal walaupun banyak drama.

Hari ni Kak Feni keluar awal sebab takut takde parking kat stesyen MRT. Kalau lambat jawabnya memang takde parking. Semalam pun parking jauh sangat. Hari ni depan sikit tak sejauh semalam. Dahlah balik semalam angin kuat dan hujan pun turun renyai-renyai. Kak Feni membuka langkah seribu sebab takut basah kuyup sementara nak sampai ke kereta. Angin punya kuat sampai nak tercabut tudung. "leloh jelir rasanya". Hahhaaha

Semalam balik kerja jalan okey lagi tapi biasalah banyak kereta. Semua nak sampai cepat. Sabar jela kalau drive kereta ulang alik nak kerja.

Bulan ni masuk 2 bulan dah Kak Feni ulang alik ke pejabat sendiri. Berdikari lah nak buat macam mana. Nasib baik ada lesen kereta dan boleh naik public transport. Alhamdulillah Allah permudahkan segala urusan. Ada hikmah semuanya.

Rasa macam sihat sikit sebab hari-hari jalan kaki nak sampai opis. Kalau tak suami jemput dan hantar di lobby. Haha takde masa nak bersenam. Bila kena macam ni memang rasa sihat sikit walaupun penat. Rasa kurang sikit semput. Haha mungkin sebab dok jalan hari-hari dan jantung pun mengepam dengan laju. Cuma berat badan je taknak turun lagi sebab dok makan dan minum manis-manis tak jaga.

Alhamdulillah semoga yang datang baik-baik saja. Positif selalu inshaAllah yang baik-baik juga akan datang kepada kita. Amin.



March 3, 2020

Selesai Sudah Halal Basic Training - Day 2


Alhamdulillah selesai sudah Training Basic Halal Part 2 semalam. Hari tu Kak Feni dah share pasal

Selesai Training Halal Dengan Pihak JAKIM - Day 1.


Hari kedua ni macam lebih santai dan tak berat sangat macam hari pertama hari tu. Kali ni penekanan untuk mendapatkan sijil Halal Jakim.



Macam biasa yang bagi talk untuk dapatkan pensijilan Halal Jakim ini adalah Ustad Don Luqman. Penuh meja hari ni dengan VIP. Hehe kami staff ni duduk hujung-hujung jela.

Sesi bergambar penerimaan sijil.





Santai-santai je kali ni. Seminar pun half day je. Lepas makan tengahari dah selesai. Jadi kami pun relax and easy jelah. Buat kerja pejabat macam biasa. 


February 28, 2020

Jimat Banyak Dengan MY100 - RapidKL

Hari Rabu lepas kak Feni dah buat pass perjalanan tanpa had selama 30 hari MY100 tu sebab nak jimat banyak. Minggu sudah dah topup Touch n Go RM50. Tu pun tak cukup seminggu.

Sehari jumlah kos MRT dan Monorel RM11.40. Kalau darab dengan 5 hari sudah RM57.00. Jadi untuk mengurangkan kos pengangkutan Kak Feni tengok ada pass MY100 ni.

Kena ambil tahu sebab dah kena naik pengangkutan awam dah lepas ni. Husband Kak Feni tak tahu bila boleh balik back to normal. Dia asyik kena outstation je.


RM100 untuk 30 hari atau sebulan. Kak Feni buat kira-kira kalau guna kad ni dah jimat seratus lebih. Seratus lebih tu dah boleh buat macam-macam. Nak belanja anak makan pun boleh kan. Kalau KFC satu bucket tu pun masih ada balance atau boleh beli KFC 2 kali. Haha

Sekarang ni fikir nak cut cost je. Kita jimat selagi boleh. Semalam Kak Feni cerita pasal jimat line handphone. Hari ni kita share pulak pasal jimat guna pengangkutan awam.

Ingat nak naik bas je kalau boleh ke stesyen MRT tapi mikir ke nak hantar anak-anak sekolah pagi nak kena hantar, bawa jela kereta. Balik pun mudah tak perlu tunggu bas. Naik bas kang kena tunggu.

Jadi mak-mak ni kan banyak benda nak kena buat dan fikir. Selagi boleh jimat kita jimat.


First time guna MyKad untuk buat pass ni. Jadi RM100 + RM10 = RM110 kena bayar. Mujur masa ni kaya sikit sebab korek duit tabung. Nak tunggu gaji hujung bulan atau awal bulan baru dapat.


Yang ni resit topup touch n go sebelum tu. Parah belanja bulan ni. Harapnya income pun lebat selebatnya la nak datang lepas ni. Aminn.

Bila abah takde macam ni lah. Kena berdikari naik turun pengangkutan awam dan drive sendiri. Takpelah sabarlah hati, ketika aku merasakan hidup aku susah. Masih ramai lagi yang lebih susah dari aku. (ayat pujuk diri sendiri) Huhuhu


Isi minyak kereta penuh-penuh supaya senang nak ulang alik ke stesyen MRT. Kalau tak jenuh nak beratur pagi-pagi nak isi minyak. Kita isi malam hari tapi ketika ramai orang. Jangan pergi waktu sunyi dan tak ramai orang. Bahaya sebab kita wanita dengan anak-anak. Beringat selalu.




February 27, 2020

Kami Dah Tukar Kepada Plan Hotlink

Setelah setahun lebih nak dekat 2 tahun jugak lah Kak Feni dan husband guna postpaid Umobile dengan bil RM135 atau lebih sebulan. Akhirnya kami pilih untuk tukar kepada Hotlink sebabnya line dekat rumah teruk sangat.

Nak layan internet tanpa had pun tak boleh. Paling stress bila anak-anak mengamuk tak boleh tengok Youtube.

Kak Feni pulak kalau hari minggu memang waktu santai ramai orang wasap dan pm nak order produk dengan Kak Feni. Kalau internet slow nak buat kerja pun susah. Nak survey tiket flight dan buat booking kalau internet slow memang stress.

Bila ada offer untuk join Hotlink dan bil bulanan pun lebih murah. Terus grablah. Kak Feni dan husband ambil plan macam di bawah.


Mula nak ambik sekali dengan handphone tapi fikir-fikir balik handphone kami okey lagi. Jadi ambil plan je.

Kami dah tukar dari Umobile ke Hotlink hari Ahad lepas dan hari Isnin dah boleh tukar simkad. Kami kekalkan nombor lama jadi tak perlu tukar. Kalau tukar nombor satu hal pulak nak kena war-warkan kepada orang lain.

So, hari ni dah 4 hari Kak Feni dan husband guna khidmat Hotlink ni. Alhamdulillah so far so good. Kalau kat rumah nak tengok Youtube etc dah lajuuu gitu. Anak-anak pun tumpang seronok sebab boleh pau handphone ummi dan abah.


Kak Feni kontek Ida & Win untuk dapatkan plan ni sebab Kak Feni jumpa diorang di Metro Kajang sebelum tu. Diorang bagi pamplet dan nasib baik Kak Feni simpan pamplet tu. Haha rezeki Kak Feni sebab diorang yang akan datang jumpa kita kalau kita kontek.

Kami deal nak jumpa dekat McD Taman Connaught sebab masa tu kami on the dari Ipoh ke KL. Lepak situ lah senang.

Yang best bila tukar plan kepada Hotlink dengan diorang ni dapat free gift. Alhamdulillah. So korang kalau rasa nak jimat dan tukar plan ke Hotlink boleh kontek Ida & Win. No telefon kat bawah.


Ida - 017-8720048
Win - 017-2881678





February 11, 2020

Selesai Training Halal Dengan Pihak JAKIM - Day 1

Semangat mana semangat? Macam rasa hilang semangat tapi hidup perlu diteruskan selagi ada hayat.

Semalam dengar perkhabaran Abam Bocey meninggal. Suram jer suasana semalam. Kak Feni tak boleh nak layan sedih sangat sebab sibuk dengan urusan meeting dan training. Rasa penat sangat sejak hari Sabtu non stop berjalan sampai hari ni.

Semalam pagi kena keluar naik mrt dan lrt sebab nak hantar kak balik kampung. Suami Kak Feni kena masuk kerja awal sekarang ni. Pagi tadi pun berkejaran Kak Feni naik monorel untuk sampai ke pejabat. Betapa masa itu sangat bernilai.

Ni baru boleh bernafas lepas training dengan Jakim tadi. Alhamdulillah selesai dah satu bab. Lepas ni apa lagi nak mari.




Ni gambar pagi tadi masa peserta tak penuh lagi. Alhamdulillah walaupun rasa macam tahu dah pasal halal haram ni, bila ada trainer datang kita boleh bertanya direct dengan beliau.

Trainer kami kali ni Encik Don Luqman. Mula tengok macam Ustaz Don Daniyal. Bila sembang-sembang memang adik dia. Sama macam abang dia. Bagus dan berilmu.

Training kali ni untuk mendalami lagi ilmu halal dan haram. Untuk kita lebih faham tentang status halal dan haram. Kadang-kadang orang bukan Islam, diorang tak faham halal tu macam mana. Ayam tu halal tapi kalau tak sembelih tetap jadi haram.

Dengan training ni secara tak langsung kami yang Islam ni pun boleh sama-sama belajar dan lebih faham lagi. Benda nampak remeh tapi semua kena ambil kira. Tambah-tambah lagi kalau sektor industri yang melibatkan pengeluaran yang banyak-banyak tu.

Nak dapat sijil Halal ni senang je asalkan ikut prosedur. InshaAllah semuanya mudah je.

February 3, 2020

Semoga Allah Permudahkan Urusan Kami Sekeluarga

Nak share ke tak nak ? Terfikir juga tanggapan negatif. Tapi buang jauh-jauh lah. Semoga yang membaca pun dapat inspirasi supaya kita sama-sama kerja keras untuk capai segala impian.

Hari ni Kak Feni mencuba nasib untuk apply loan bagi nak beli rumah. Dah booking tapi duit masih ada cash kena pergi bank in balik kerja nanti.

Nak ada rumah sendiri adalah impian Kak Feni. Masa Kak Feni mula-mula buat bisnes online Shaklee tahun 2015 dulu, mentor Kak Feni suruh tuliskan 1001 impian yang Kak Feni nak capai dalam hidup ini.

Masa tu excited sangat nak itu ini. Tulis je apa yang nak. Tahun lepas pun ada jugak berangan nak beli rumah sendiri tapi impian belum tertunai. Tahun ni bila ada orang offer rasa macam takut dan tak yakin boleh lepas ke loan nak mohon ni.

Ni baru nak cuba. Kalau lulus, alhamdulillah. Kalau tak lulus kita cuba lagi. Harap-harap dipermudahkan segalanya.

Kalau loan rumah ni lulus. Makanya Kak feni dan husband kena kerja lebih kuat dan gigih lagi sebab komitmen bulan makin tambah. Kereta lagi 2 tahun setengah nak settle. Kak feni mampu doa agar Allah permudahkan segalanya. InshaAllah Aaminn Ya Allah Ya Mujib.

Kadang-kadang rasa macam Allah dah jawab doa-doa Kak Feni yang dulu. Nak itu nak ini. Cuma Allah bagi ketika kita mampu. Pengalaman jatuh bangun dan usaha nak capai tahap ni. Hanya diri sendiri dan kami saja yang tahu.

Rezeki itu rahsia Allah. Dia nak bagi, Dia akan bagi. Yakin dan percaya. Pasti Allah akan bagi.


Alhamdulillah.

Doakan perjalanan nak beli rumah Kak Feni berjaya ya.


January 21, 2020

Table For Two

Ewah hari ni terlepas sarang lagi. Lunch di Restoran Haslam dengan Nadia lagi. Hehe.

Tak jauh pun dengan opis Kak Feni tapi kalau jalan kaki memang peluh ketiak. Kami pergi dengan kereta. Jadi tak berpeluhlah ketiak Kak Feni sebab jadi mem duduk di sebelah driver.

Rambang mata kalau sampai sini. Semua benda nak makan. Pergi pulak time perut sedang berdondang sayang sebab lapar. Hari ni kami bernasib baik sebab dapat keluar awal.

Sampai nampak dah ramai tapi turn kami tak lama untuk dapat nasi. Lepas jer kami dapat tempat duduk nak makan. Hahh tudia beratur panjang orang nak makan.



Ni la makanan yang kami ambil. Pusing-pusing sampai tak tahu nak pilih makanan apa. Last Kak Feni ambil gulai lemak perut dengan nangka muda, sayur campur, ikan bilis goreng garing dan juga sambal belacan.

Nadia pulak awal-awal dah terkam asam pedas ikan pari. Memang favourite dia pun ikan pari tu. Sayur pak choi dengan lala masak sambal. Kami share berdua lala tu.

Macam berdating pulak kami ye. Sekali sekala terlepas sarang apa salahnya.

2020 ni baru bulan Januari tapi cabarannya dah awal-awal lagi Allah bagi. Namun disebalik kekurangan dan ujian yang Allah bagi, Dia bagi juga kelebihan dan nikmat yang sememangnya kita tak boleh nak dustakan.

Sabar dan hadap jelah apa pun yang datang lepas ni.

January 17, 2020

Nadia Datang Opis lagi


Hargailah setiap masa yang ada kerana kita takkan mampu untuk putarkan masa yang dah berlalu. Yang pergi takkan kembali.

Selagi ada peluang untuk berbuat kebaikan, buatlah kerana kita tak tahu apa yang akan terjadi esok hari.

Hari ini kita gembira dan bahagia. Esok kita tak tahu apa yang akan kita jumpa. Inilah perjalanan hidup. Suka dan duka kita tetap perlu teruskan melangkah dan melangkah sampai masa kita akan kembali kepada Sang Pencipta.

Semoga segala amalan kebaikan kita diterima Allah.

Dugaan dan cabaran yang kita lalui sebenarnya mematangkan kita. Doa, sabar dan terus berusaha untuk mendapat redha dari Allah.

Benar, untuk menjadi insan yang lebih baik perlukan banyak pengorbanan dan air mata. Kadang-kadang rasa macam dunia ni tak adil dengan kita tapi itulah perjalanan yang kita kena lalui sebab ujian setiap insan itu berbeza.

Persahabatan kita yang Kak Feni harap sampai ke syurga. InshaAllah. Kak Feni sentiasa doakan Nadia dapat apa yang Nadia impikan. Walaupun jauh selalu datang tengok Kak Feni di sini.

Masa kita dekat dulu, suka lepak sama-sama. Bila dah jauh ada rezeki baru jumpa. Maklumlah masing-masing ada komitmen masing-masing.

Semoga tahun ni tahun yang baik untuk kita semua.

January 1, 2020

Selamat Tahun Baru 2020

Semalam kami gigih keluar rumah sebab nak count down new year. Mulanya nak lepak Di atas bukit Ampang. Namun bila sampai atas bukit dah penuh dengan kereta sampai takde tempat nak parking.

Bila dah Jalan turun bukit tu nampak kereta bersusun nak naik ke atas. Kami pun ubah plan tak Jadi lepak atas bukit. Kami terus kan perjalanan ke Tesco Ampang.

Kami pergi 2 buah kereta. Selamat ni tak pernah pun nak layan count down ni. Ni bila dah ramai mula lah menjadi. Mujur hari ni cuti.








Lepak dekat Petronas tempat orang selalu COD dekat Tesco Ampang. Hehe masa kami lepak pun nampak ramai orang dok melakukan COD.

Layan tengok bunga api yang nampak tak berapa nampak. Haha sebab salah tempat. Patut gi lepak dekat parking Tesco tu baru nampak clear. Takpe lain kali ade rezeki lepak situ.

Pukul 12.30 pagi kami gerak pulang. Namun sebelum tu sempat lagi singgah mamak untuk makan santai. Ewahhh pembukaan 2020.

Semoga tahun ni dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah. Diberkati oleh Allah Dan, sentiasa dalam lindunganNya selalu.

Selamat tahun baru semua. 2020.

December 4, 2019

Happy Birthday Adik Rayyan

Hari Ahad lepas Kak Feni adalah buat makan-makan sikit sempena Abang Aus nak khatan nanti. Cari-cari masa yang sesuai sebab ummi tak boleh cuti. Biasalah hujung tahun macam ni ramai yang cuti. Jadi kena gili-gilir jaga opis.

Kak Feni hanya boleh cuti minggu depan. dok plan-plan cari tarikh yang sesuai untuk buat makan. Adik beradik dengan saudara ramai. Jadi kena confirm betul-betul. Bila dah plan macam-macam hal jadi tapi jemputan dah jemput jadi kena buat juga lah. 

Tokmek dan ayahNgah takleh datang sebab takde orang nak ambil di kampung. Achik Manjung dan Pakcik Radhi pun tak datang sebab Achik kena pergi Brunei last minute. Ummi dah risau dah siapa nak tolong ummi masak. Maklumlah tak pernah buat kat rumah sendiri. Haha

Nasib baik CikNi datang dari Gerik. Tu pun dia baru balik dari Chiang Mai. Tukang masak import dari Perak.

Ummi dengan CikNi masak bihun sup, pulut kuning, ayam masak merah dan juga mee goreng je. Yang lain-lain tu semua mak-mak sedara dan adik beradik lain bawak. Alhamdulillah penuh meja dengan makanan. Opah buat puding kastard, nasi himpit dan kuah kacang.




 Kami buat majlis pada 01/12/2019 sehari sebelum birthday Adik Rayyan yang ke 5 tahun. Jadi Angahnya pun belilah sebiji kek untuk tiup lilin. Seronok sangatlah Adik Rayyan konon tu besday party dia. Haha buat sekalilah kongsi kek makan ramai-ramai.



Pulut kuning tu ummi dah rendam semalaman dengan serbuk kunyit. Resepi macam biasa kena google dulu. Tunggu CikNi sampai confirm tak sempat. Dia naik bas Sabtu malam jadi Ahad pagi baru sampai. Dia tidur kejap jer sebab takut tak sempat nak masak.

Bangun-bangun terus kena arung pulut dengan santan. Mujur menjadi dan sedap. Letak pulak telur yang kaler-kaler kat atas tu. Pulut kuning makan dengan sambal ayam. Mula nak buat rendang ayam. Pastu fikir-fikir tak reti dan ambil masa lama. Kita buat sambal ayam jela.

Majlis berlangsung lepas asar dimulai dengan bacaan doa selamat dan tahlil untuk arawah-arwah yang telah pergi. Alhamdulillah selesai dah majlis.

Kak Feni dan suami buat majlis kecil-kecil jer. Jemput adik beradik dan mak-mak saudara yang dekat jer. Untuk anak sulung nak bersunat kan. InshaAllah ada rezeki Adik Rayyan nak sunat nanti kita buat lagi.

Terima kasih kepada adik beradik yang banyak membantu datang kemas rumah. Tolong rewang walaupun hanya nak masak bihun sup. Mak-mak sedara yang bawa makanan sampai penuh meja. Hahaha tapi letihnya sampai hari ni tak hilang lagi.

InshaAllah malam 10/12/2019 ni, Abang Aus akan berkhatan di klinik. Harapnya semua baik-baik saja sebab masa tu abah kena outstation. Harapnya ummi kuat untuk jaga Abang Aus dalam pantang. InshaAllah.

Selamat hari lahir Adik. Semoga jadi anak yang soleh untuk ummi, abah dan abang. Semua orang sayang adik. Berjaya dunia dan akhirat. Doa ummi sentiasa mengiringi perjalanan anak-anak.

November 27, 2019

Bila Tiba Musim Gaji - Order Masuk Bertubi-tubi

Alhamdulillah rezeki bisnes online Kak Feni tak putus-putus. Begitulah hendaknya.

Hasil rajin menulis dan share di fb, instagram dan blog. Yang ni jer selalu Kak Feni update. Selebihnya Kak Feni serahkan pada Allah. Rezeki Allah yang bagi.







Syukur alhamdulillah sebab dah nampak hasil usaha. Mula-mula buat bisnes dulu memang sedih dan mudah sentap dengan keadaan sekeliling. Orang tak sapot itu biasa. Lama-lama dah tak kisah pun apa orang nak cakap sebab bukan diorang pun yang nak bayar segala bil kita. Jadikan itu motivasi untuk kita terus bangkit dan majukan diri sendiri.

Kalau kita tak tolong diri kita sendiri siapa lagi ?

Kak Feni selalu ingatkan diri. Biarlah kita susah-susah dulu senang kemudian. Setiap kesusahan yang kita lalui hari ini menjadikan kita lebih kuat dan kental dikemudian hari. Pengalaman jatuh bangun dalam hidup dalam bisnes menjadikan kita lebih bersyukur dengan segala nikmat yang Allah bagi.

Perbetulkan niat. Aku nak bangkit bantu diri sendiri dan bantu orang lain. InshaAllah tuhan mesti tolong.

Mulakan dengan bangkit diri sendiri. Jaga emosi sendiri dan rapatkan diri sendiri dengan Allah pasti Allah tunjuk jalan. Hidup ini jangan sombong(pesanan untuk diri sendiri).

Setinggi mana pun kita berada, jangan lupa tunduk kebawah. Hidup ini ibarat roda yang sentiasa berputar. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Berbuat baiklah selagi mampu. InshaAllah Allah akan sentiasa ada dengan kita.

Majlis Tautan Ukhuwah Aidilfitri Anak Gerik & Pengkalan Hulu di Lembah Klang [19 April 2026]

Semalam berkesempatan menghadiri Majlis Tautan Ukhuwah Aidilfitri untuk perantau Gerik & Pengkalan Hulu yang berlangsung di Galaxy Ampan...