February 21, 2018

Cerita Hari Ini 9

Alhamdulillah dipermudahkan urusan dan dapat menulis untuk menyebarkan kebaikan. Apa tugas hari ni ? Tugas ummi sebagai surirumah sepenuh masa sehingga 25 hb Febuari 2018. Ummi akan kembali bertugas pada hari Isnin.

Wahhhhhhhh. Tepu otak rasa bila duduk berkurung dalam rumah. Bila petang buat exercise dengan jalan-jalan dalam taman. Hilang rasa tepu dalam otak ni. Duduk dalam rumah bawah lampu bawah kipas angin rasa macam sesak nafas. Aduii macam mana la suri rumah yang setiap hari duduk rumah tu.

Sebab apa Allah bagi ummi kerja ? Sebab Allah tahu ummi tak mampu duduk rumah lama-lama. Ummi kena kerja untuk bantu abah dan meningkatkan ekonomi rumah tangga. Ummi boleh duduk rumah tapi untuk waktu-waktu hujung minggu saja. Rezeki ummi dengan bekerja dengan orang lain untuk masa ni.

Walaupun ummi memang nak sangat duduk rumah, jaga anak-anak sendiri tapi keadaan memang tidak mengizinkan. Alhamdulillah nasib baik ummi ada ibu mertua yang baik hati yang sudi jaga cucu. Jadi bolehlah ummi keluar bekerja dengan abah. Gaji ummi dengan abah tak banyak tapi cukup untuk tampung kehidupan duduk di sini.

Alhamdulillah syukur dengan nikmat Allah bila setiap kesulitan yang kami hadapi Allah lorongkan dengan kebaikan dan hikmah. Sabar dengan setiap ujian yang diberikan. Memang kami tidak mewah dengan harta tapi kami bahagia. Anak-anak tak pernah tak cukup makan  dan pakai. Kami pun tidak ajar anak-anak tentang kemewahan. Cukup dengan apa adanya. Walaupun kadang-kadang ada juga dia minta benda yang diluar kemampuan kami. Kami akan cuba terangkan kepada mereka kesulitan yang ummi dengan abah hadapi.

Ummi dengan abah bukan orang senang. Nak dapatkan sesuatu bukan senang. Kalau nak kena usaha. Ummi ajar anak-anak ummi macam tu jugak. Bab makan pun, ala kadar tak bermewah-mewah. Bila ada rezeki lebih baru boleh makan sedap-sedap. Ummi dengan abah dapat gaji baru boleh merasa makan KFC atau MC D. Itu pun tengok bajet jugak Hahaha


7 ZIKIR MUDAH MENJEMPUT REZEKI

7 ZIKIR MUDAH MENJEMPUT REZEKI

1) Memperbanyakkan membaca La Haula Wala Quwwata Illa Billah.

2) Membaca La Ilaha Illallahu Malikul Haqqul Mubin.

3) Membaca Subhanallah Wabihamdihi Subhanallahil Adziim.

4) Membaca Surah Al-Ikhlas.

5) Membaca Surah Al-Waqia'ah.

6) Memperbanyakkan Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

7) Melazimkan beristighfar.

DOA MENJEMPUT REZEKI

Ya Allah, berikanlah kami rezeki yang luas. Yang halal lagi baik tanpa memberatkan

kami. Ya Allah, jika rezeki kami masih di Langit maka turunkanlah. Jika ada di Bumi maka keluarkanlah. Jika sukar maka permudahkanlah. Jika haram, maka sucikanlah. Jika jauh maka dekatkanlah. Jika banyak maka berkatilah agar kami dapat membantu mereka yang berada dalam kesusahan dan memerlukan.

Aamiin Ya Rabb

p/s : Semoga bermanfaat untuk dikongsikan bersama. InsyaAllah




February 19, 2018

Cuti CNY 2018 - Kami Ke Manjung, Perak


Dua hari terpaksa melangkau cabaran sebab ketiadaan internet dan kekangan masa. Jumaat (16/2/2018), pukul 9 malam bertolak  ke Manjung rumah Achik. Kami pergi sana sebab lama dah tak jumpa Achik dan peluang bawa anak-anak berjalan.

Sabtu (17/2/2018) kami pergi berkelah di Teluk Senangin. Sejak beberapa tahun kebelangan ini, Manjung adalah destinasi yang kami akan pergi. Selain untuk jumpa dengan Achik, kami boleh mandi pantai. Anak-anak paling seronok. Teluk Senangin lagi jauh dari Teluk Batik. Pertama kali kami sampai ke Teluk Senangin.

Kami sampai dalam pukul 4 petang dengan segala bekalan yang dibawa untuk berkelah. Achik masakkan spagety bolognese sebagai hidangan kami petang tu. Sampai pantai cuaca agak panas terik dan terlalu ramai orang. Nak parking kereta pun susah.

Kami pergi 2 kereta sebab keluarga Pakcik Radzi pun ada. Bermalam di rumah Achik juga. Jadi kami beramai-ramai berkelah. Masa di Teluk Senangin, anak-anak tak puas mandi pun sebab keadaan pantai yang curam dan dalam. Mereka duduk digigi air dan bermain pasir. Keadaan masa tu agak panas terik sampai sakit kepala.

Ketika balik dari Teluk Senangin, kami singgah sekejap di Taman Paya Bakau. Di sini kami bagi kera makan. Tapi kami bagi roti. Roti macam tak laku sebab kera-kera kat sini dah kenyang. Tengok roti pun buat tak tahu je. Kami sampai awal kali ni, boleh menyusuri jambatan hingga ke hujung dan dapat tengok muara sungai. Airnya warna hijau dan nampak sangat dalam. 

Habis aktiviti di Hutan Paya Bakau, kami balik. Mulanya nak singgah pasar malam sebab nak beli bahan-bahan untuk masak makan malam. Dah tak larat, kami pergi makan terus. Kami makan shell out di kedai makan sebelum sampai rumah Achik. Lepas makan terus balik rumah. Mandi, solat dan rehat. Malam tu kami layan movie Korea sampai pukul 12.30 pagi.

Ahad 18/2/2018, kami pergi berkelah ke Teluk Batik. Bawak anak-anak mandi pantai puas-puas sebab di Teluk Senangin tak puas mandi. Kami pergi awal pagi sebab takut cuaca panas. Mandi, korek pasir dan makan. Kali ni kami bawak bekal yang senang-senang je. Nasi lemak, nugget, sosej, roti dan jem coklat. Air pun air mineral dan air botol je. Senang dan mudah.

Pukul 12.30 balik ke rumah Achik. Kami singgah beli barang basah untuk makan tengahari. Balik terus siap-siap untuk masak. Mak Pakcik Radzi masak sambal petai yang dibawa dari Felda Lawin Utara. Sedap ya nikmat. Siap-siap masak dan makan dalam pukul 3 petang. Lepas makan terus kami siap-siap untuk kembali ke Hulu Langat.

Pukul 4 petang, kami bertolak balik. Jalan agak sesak dan jem sebab banyak kenderaan berpusu-pusu nak masuk Kuala Lumpur. Kali ni kami cuba jalan baru ikut Sabak Bernam. Jalan punya jalan, entah mana-mana jalan. Akhirnya pukul 12.00 pagi sampai rumah. Alhamdulillah selamat juga sampai walaupun 7 8 jam juga masa diambil. Masa pergi pukul 9 pukul 1 dah sampai. 4 jam je. Masa balik sekali ganda. (Nanti kita cerita lain)



February 16, 2018

Sehari Satu Cerita 8

Rancangan hari ni ? Pagi sampai petang duduk rumah saja. Kemas rumah, basuh kain, lipat baju dan memasak. Rutin biasa sebagai seorang suri rumah. Suri rumah untuk beberapa hari. Kalau tak nak basuh dengan lipat baju pun tunggu hari minggu.

Bila hari kerja, rasa penat sangat. Ni dapat cuti lama anak-anaklah yang paling seronok sebab boleh berkepit dengan ummi 24 jam. Bila ummi kerja selalu suruh ummi balik awal tapi ummi masih belum mampu. Tempat kerja ummi jauh. Ummi pula pergi kerja dengan abah. Abah balik kerja pukul 7. Jadi ummi nak tak nak kena sabar. Dah hampir 5 tahun dah ummi kerja di Plaza Permata. 2 3 tahun pertama ummi tidur di surau kalau sampai awal. 

Alhamdulillah sejak tahun 2015, bos ummi dah bagi duduk di pejabat sampai waktu balik. Jadi masa tu ummi luangkan waktu untuk buat bisnes online secara dropship. Alhamdulillah kadang-kadang ada masuk order. Modal tak banyak hanya mendaftar jadi ahli dan kemudian dah boleh buat promosi di fb, instagram, blog dan media sosial yang lain.

Daripada kosong tak pandai menulis dan buat marketing, alhamdulillah sekarang masih lagu belajar dan belajar. Lagi banyak kita belajar lagi banyak yang kita tak tahu. Rasa macam nak pergi kursus tapi banyak sangat halangan. InshaAllah jika diberi peluang nak pergi banyak lagi kursus untuk meningkatkan lagi ilmu di dada.

Perlahan-lahan belajar. Rezeki tidak pernah salah alamat orang kata. Selagi kita berusaha, inshaAllah pasti ada jalan. Teringat kawan Feni yang berjaya buka taman bimbingan kanak-kanak dengan apa yang ada. Alhamdulillah tumpang gembira.

Dia ada juga ajak untuk buat sama-sama, tapi Feni masih sayangkan kerja sekarang. Mungkin dalam 4 atau 5 tahun lagi baru nak fokus bisnes betul-betul. Sekarang ni fokus untuk online saja. Sebab online pun boleh hidup jugak. Hihi modal pun tak banyak dan risiko pun tak banyak. Modal banyak risiko pun banyak.

Mula-mula ni kumpul database customer dan buat follow-up. Untuk customer lama, pegang ketat-ketat. Marketing untuk customer baru. Seronok kalau buat betul-betul bisnes online ni. Dapat kenal kawan baru, dapat kawan baru dan idea pun berkembang. Jangan dengki dengan orang lain. InshaAllah rezeki kita Allah yang tentukan.

Kita hanya perlu berusaha dan bertawakal. Dalam mengejar impian banyak perkara yang kita akan lalui. Suka duka perjalanan menuju kejayaan itu sangat manis untuk dikenang. Jadilah insan yang baik untuk dikenali bukan dengan benda yang tak baik. 

February 15, 2018

Sehari Satu Cerita 7

Lewat bersiaran hari ni. Banyak benda nak kena fikir. Sampai berserabut kepala dibuatnya. Orang tak tahu masalah kita. Biarlah sebesar besar masalah, ingat Allah lagi besar. Tiada masalah yang tak boleh diselesaikan. Sabarlah dan berdoa agar diberikan jalan. InshaAllah kekusutan akan dileraikan.

Membuat keputusan ketika marah, banyak sangat buruknya. Bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain juga. Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan. Walaupun ada benda yang kita tak bersetuju tapi bila Allah uji kita dengan cara itu mesti ada hikmah disebaliknya. Berlapang dada.

Apa aktiviti kami anak beranak hari ini ? Duduk rumah main dan kemas rumah macam biasa. Baju banyak yang belum di lipat. Kain yang nak dibasuh masih sikit sebab semalam 2 kali ummi putar mesin basuh. Jadi hari ini agak ringan. Esok pula  cuci baju.

Semalam kami 3 beranak cuci garaj kereta. Alhamdulillah sudah bersih. Tengahari ummi masak cincai-cincai sahaja. Nasi dengan telur dadar dan juga ulam-ulaman. Hari ini, belum memikir lagi nak masak apa. Sardin ada satu tin dalam peti. Nak masak sardin selalu tak boleh sebab orang kata tak elok untuk kesihatan. Kadang-kadang teringin tu yang masak.

Ummi cuba buat makanan yang sihat untuk anak-anak. Bagi buah dan sayuran. Tapi sekarang ni bila makan buah, batuk pula jadinya. Ni musim-musim raya cina ni banyak dapat buah limau. Tak berani nak bagi anak-anak makan takut batuk. Ummi hari tu makan sebiji terus sakit perut. Esok pagi terus ulang alik ke tandas. Ngeri tapi rasa macam kempis je perut.

Bila dah berumur ni, kadar metabolisma badan semakin menurun. Kalau tak jaga betul-betul badan cepat naik dan susah nak turun. Ummi ni makan dahlah tak boleh tinggal nasi. Sehari tak makan nasi boleh pengsan. Menggeletar tangan dan kaki. Kena juga makan nasi. Benda lain tak dapat takpe, asalkan jangan nasi. Sekarang ni pun tengah cuba untuk mengurangkan jumlah nasi. Makan dalam jumlah yang sikit. Lebihkan sayur dan juga buah-buahan. Masalahnya tak semua jenia sayur ummi boleh makan. Buah tu inshalAllah boleh telan.

Ummi suka makan nasi dengan ulam sebab boleh cicah budu. Ada budu makan selera. Hehe maklumlah "oghe Kelate" mana boleh tinggalkan budaya asal. Cakap pun bau budu. Ada mak kisah ?


February 14, 2018

Sehari Satu Cerita 6

Bila perasaan malas menjelma. Malas betul nak buat. Rasa nak bermalas-malasan saja. Nak duduk saja tanpa buat apa-apa. Mengenangkan ada anak-anak yang perlu diisi perutnya. Kena kuatkan semangat.

Hari ni, ummi dan abang cuti. Jadi kami anak beranak lepak di rumah saja. Pagi-pagi dah siapkan air teh untuk sarapan. Abah belikan kuih dan roti untuk hidangan pagi. Kenyang sudah kami anak beranak. Asal perut tak lapar alhamdulillah.

Untuk tengahari, ummi masak nasi dengan telur dadar dan celur sayur je. Anak-anak nak makan telur dadar dengan kicap. Ummi tanya cukup ke makan tu, alhamdulillah anak-anak tak kisah. Abang Aus makan paling banyak sebab dia memang suka telur dadar dengan kicap.

Teringat ummi masa kecil, makan nasi telur mata dengan kicap. Telur kuning cicah kicap, ya Allah sungguh nikmat. Membesar dalam keluarga yang serba kekurangan menyebabkan kami adik beradik sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi. Dulu kalau dapat makan ayam tu, rasa macam nikmat sangat dah. Rasa macam orang kaya.

KFC masa dulu punya susah nak dapat. Kalau nak makan ayam KFC tunggu orang sembelih ayam, beli tepung goreng ayam adabi dan buat sendiri. Itulah ayam KFC kami yang paling sedap. Nak makan di luar jauh sekali.

Anak-anak sekarang, alhamdulillah hidup mereka lebih baik dan sangat beruntung. Nak makan senang. Abang Aus kalau rasa nak makan roti canai, terus ajak lepak mamak. Nak minum air jus pun boleh pergi kedai. Zaman kita dulu nak lepak mamak pun tak pandai.

Belanja makan sehari pun cukup-cukup untuk tambang pergi dan balik sekolah je. Kecil lagi dah pergi balik sekolah sendiri. Anak sekarang, ada bas atau van yang hantar dan ambil. Ummi dulu jalan kaki je. Dekat pukul 2 atau 3 baru sampai rumah. Jalan pulak ikut semak tapi alhamdulillah selamat. Zaman sekarang agak-agak berani tak bagi anak dara jalan ikut semak? Nauzubillahiminzalik.

Memikirkan zaman dulu dan sekarang memang jauh beza. Zaman ummi dulu mana ada telefon bimbit macam sekarang. Perubahan yang berlaku terlalu pantas. Abang Aus, 3 tahun dah ada tablet. Teknologi untuk pembangunan. Bila kawan-kawan ada, dia pun nak juga.

February 13, 2018

Sehari Satu Cerita 5

Meneruskan cabaran untuk menulis "Sehari Satu Cerita". Ini adalah artikel yang ke lima. Mencuba mencabar diri sendiri untuk terus menulis. Semalam seharian sibuk dengan urusan kerja dari pagi sampai ke petang. Penatnya hanya Mak Jemah yang tahu.

Mesyuarat semalam dihadiri oleh sahabat-sahabat dari pejabat Kota Bharu. Menaiki pesawat untuk ke sini. Dari lapangan terbang ke pejabat, mereka menaiki teksi. teksi pula tidak seselesa biasa sebab beratur ikut giliran dari lapangan terbang. Sampai di pejabat kami terus cakap pening kepala sebab teksi bawa dengan cara yang merbahaya. Bila sampai selekoh tidak memperlahankan kenderaan. Nasib baik masa balik dapat teksi yang sangat baik keadaannya.

Mereka tiba di pejabat ini dalam pukul 11.00 pagi. Masa tu Feni memang tengah sibuk dengan kertas kerja yang boss minta. Kejap-kejap tukar, lepas tu kena buat banyat set pula. Rasa tertekan sikit semalam tapi nasib baik tak lama. Dalam pukul 12.00 baru masuk bilik mesyuarat. Perbincangan bermula sampai pukul 4.30 petang. Itu pun sebab teksi Kak Phin dengan Kak Amy kena gerak ke lapangan terbang untuk balik kembali ke Kota Bharu.

Lepas mereka pulang barulah agak lega sikit sebab tak perlu masuk mesyuarat lagi. Perbincangan kali ini untuk mencari penyewa baru bagi projek kami. Feni teruskan dengan kerja-kerja pejabat yang tertanggung. Buat layout baru, simpan dan cetak.

Bila dah petang, semua orang akan pulang kecuali Feni sebab kena tunggu suami. Suami Feni habis kerja baru datang ambil Feni di pejabat. Pukul 7.15 baru Feni turun ke bawah sebab suami tunggu di Maybank. Kami naik lori sampai ke HKL. Sampai HKL terus balik rumah.

Sampai di rumah mertua sudah pukul 8 lebih. Tak sempat nak tengok cerita #KekasihPaksaRela episod terakhir. Sedih ! Tapi tak mengapa boleh tengok online di facebook. Abang Aus dengan Adik Rayyan nak ikut Opah, Angah dengan Paksu pergi klinik. Opah nak buat pemeriksaan biasa dan ambil ubat. Apa lagi, anak-anak lah yang paling suka sebab boleh berjalan. Ummi dengan abah tinggal di rumah. Menunggu anak-anak balik hampir pukul 10.30 malam. 10.30 malam baru balik rumah. Sangat-sangat penat semalam, main dengan anak-anak pun sekejap je.

Abang Aus sempat cerita mengaji dah sampai "hamzah". Alhamdulillah hari ini abang akan sambung sampai "ya". Jadi lepas ni abang akan terus membaca iqra secara membaca. Abang cakap seronok mengaji dekat rumah Nek Yam. 

Perjalanan hidup sebagai seorang isteri dan ibu memang mencabar. Kadang-kadang timbul juga rasa untuk berhenti kerja namun bila kita ubah mindset untuk membantu seisi keluarga, alhamdulillah Allah permudahkan segala urusan.

Penat, semua orang penat kerja. Duduk rumah saja pun penat juga sebab uruskan hal rumah tangga. Memasak dan mengemas rumah pun penat. Tidur pun boleh penat tapi kalau kita ubah minda kita ke arah yang lebih positif inshaAllah segalanya akan berjalan dengar lancar. Hidup ini bukan tentang kita sahaja. Kita perlu hargai orang sekeliling untuk hidup lebih bahagia.

Majlis Tautan Ukhuwah Aidilfitri Anak Gerik & Pengkalan Hulu di Lembah Klang [19 April 2026]

Semalam berkesempatan menghadiri Majlis Tautan Ukhuwah Aidilfitri untuk perantau Gerik & Pengkalan Hulu yang berlangsung di Galaxy Ampan...